Penyingkiran FELDA United ‘Bunuh’ Motivasi Pemain

KUALA LUMPUR: Tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menyingkirkan FELDA United ke Liga Perdana musim depan dianggap sebagai membuka pekung di dada, yang menunjukkan bola sepak negara masih belum mencapai tahap profesional sepenuhnya.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali yang membidas keputusan itu berkata, apa yang berlaku pasti boleh ‘membunuh’ semangat pemain dan mengurangkan tahap kompetitif di Liga Super, kerana FELDA United sudah membuktikan mereka adalah antara pencabar utama kejuaraan.

“Bola sepak kita sudah lama profesional… kenapa soal dokumentasi pun tidak boleh atasi. Daripada apa yang berlaku, ia menunjukkan kita masih ketinggalan.

“Keputusan menurunkan FELDA United ke Liga Perdana menjatuhkan semangat pemain dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Semalam, FMLLP menegaskan, pihaknya tidak menganiayai FELDA United selepas The Fighters disingkirkan ke Liga Perdana, susulan gagal meraih lesen beraksi di Liga Super untuk musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, tindakan tidak membenarkan pasukan yang tiada memiliki lesen untuk beraksi dalam Liga Super sudah diputuskan lebih awal sebelum ini.

“Kita tunjukkan kelemahan kita, dan dalam hal ini, saya salahkan pihak pengurusan. Tidak hanya di peringkat FELDA sebaliknya semua peringkat pengurusan.

“FMLLP misalnya, mereka sepatutnya jadi ‘ibu’ membimbing pasukan mendapatkan lesen dan bukannya mencari kesalahan orang. Jika terus terjadi, maruah bola akan terjejas,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply