Menumpang Di Hospital Setiap Kali Banjir

TUMPAT: Seorang ibu yang anaknya mengalami sakit kronik trauma setiap kali banjir kerana bimbang air akan naik di dalam rumah serta bekalan elektrik terputus.

Roslina Hassan, 38, berkata anak tunggalnya, Muhamad Iman Mukmin, Zulkifli, 2, menghidap penyakit paru-paru kronik dan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam tempoh 24 jam.

Ketika gelombang pertama yang melanda sejak minggu lalu, anaknya yang juga penghidap sindrom down terpaksa menumpang di Hospital Tumpat selama beberapa hari kerana enggan mengambil risiko.

“Melihat kepada keadaan air yang semakin naik ke paras paha di luar rumah pada pagi Jumaat lalu, saya terus menghubungi pihak hospital yang segera menghantar ambulans untuk membawa Iman.

“Saya risau air akan semakin naik dan mungkin bekalan elektrik terputus yang akan menyebabkan nyawa Iman dalam bahaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenderong Kubu, di sini, hari ini.

Roslina berkata, walaupun baharu dibenarkan keluar dari hospital, dua hari lalu, barang kelengkapan anaknya masih tersimpan kerana bersiap sedia untuk kembali ke hospital sementara menunggu gelombang kedua yang diramalkan akan tiba dalam masa terdekat.

“Setiap kali tiba musim banjir, hati saya tidak tenteram kerana bimbangkan keadaan Iman sekiranya bekalan elektrik terputus.

“Sebab itu saya perlu peka dengan kenaikan air dan apabila semakin naik dari masa ke semasa, saya akan menghubungi ambulan walaupun tengah malam,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply