Perwakilan Asing Puji Pendirian Najib Mengenai Baitulmuqaddis

KUALA LUMPUR – Perwakilan asing yang menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini memuji pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menentang tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Ketua Hal Ehwal Politik Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia Abdullah Waleed berkata beliau amat menghargai pendirian Najib berhubung perkara itu.

“Beliau (Najib) ternyata bimbang dengan keputusan Presiden (Donald) Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (dari Tel Aviv) ke Baitulmuqaddis, yang merupakan isu yang amat serius.

“Kami percaya Malaysia akan mengambil langkah yang lebih serius, begitu juga dengan umat Islam di seluruh dunia Islam dan Arab,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis perasmian itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Anggota Parti Kongres Nasional Sudan Dr Tagwa Ahmed Musa Mohamed pula berkata ucapan Najib mengandungi mesej yang baik untuk rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia.

“Saya amat bersetuju dengan Perdana Menteri Najib mengenai isu (Baitulmuqaddis) ini,” katanya.

Terdahulu, Najib yang juga presiden UMNO, dalam ucapan dasarnya membantah tindakan Amerika Syarikat pada Rabu (6 Dis) untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis secara rasminya sebagai ibu negara Israel.

Perdana Menteri berkata Malaysia “menolak sekeras-kerasnya tindakan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.”

Najib menerima tepukan gemuruh daripada anggota perwakilan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, ketika beliau membangkitkan isu itu dalam ucapannya. – BERNAMA

Leave a Reply