Remaja Jumpa Tengkorak, Serpihan Tulang Manusia

KUALA KRAI: Dua remaja terkejut apabila menemui tengkorak dan serpihan tulang manusia di kebun kelapa sawit Kampung Staponal, Batu Jong, Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Mohamad Aiman Hakimi Yusri, 15, dan Mohammad Nor Azlan Mohd Sukri, 15, menemui tengkorak dan lapan tulang dalam keadaan berselerak di kebun sawit terbabit.

Turut ditemui di lokasi kejadian satu telefon bimbit dan topi.

Muhammad Aiman berkata, sebelum kejadian dia bersama sepupunya Mohammad Nor Azlan, pergi ke kebun kelapa sawit itu untuk melastik burung di kawasan terbabit.

“Ketika itu, saya melihat satu objek seperti cendawan dan bila melastik ke arah objek terbabit, ia melantun jauh”

“Saya dan Nor Azlan kemudiannya mengambil gambar objek berkenaan dan beranggapan mungkin ia adalah tengkorak lembu atau binatang lain, sebelum menunjukkan gambar itu kepada ibu saudara.

SERPIHAN tulang dan tengkorak berselerak dalam lingkungan 50 meter persegi di kebun kelapa sawit Kampung Staponal, Batu Jong, Kuala Krai. – Foto Rohaida Omar

“Ibu saudara terkejut dan memaklumkan penemuan itu kepada ayah saya sebelum mereka membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12 tengah hari.

“Kita dapati serpihan tulang itu berselerak dalam lingkungan 50 meter persegi. Tengkorak dan tulang itu dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply