Beza Produk Kulit Asli Dan Tiruan

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM), berjaya membezakan di antara produk kulit asli dan tiruan, terutama membabitkan babi, sekali gus mengelak pengguna tertipu.

Pegawai penyelidik IPPH-UPM, Dr Yanty Noorzianna Abdul Manaf, berkata perbezaan itu dapat diketahui dengan jelas menerusi dua kaedah iaitu Mikroskopi dan Spektroskopi.

Katanya, dengan menggunakan Mikroskop Elektron Pengimbas (Scanning Electron Microscope), tekstur kulit babi didapati bergentian dan lubangnya tembus hingga ke dasar manakala tekstur polyurethane tidak bergentian dan lubangnya tidak tembus hingga ke dasar.

“Ujian Spektroskopi dengan menggunakan Spektroskopi Fourier Transform Infra-Merah (Fourier Transform Infra-Red Spectroscopy) juga menunjukkan perbezaan ketara di antara kulit babi dan polyurethane pada spektra FTIR.

“Mesin khas ini mengkaji daya serap dan gelombang yang ada pada kedua-dua produk berkenaan,” katanya kepada BH.

Dr Yanty berkata, umumnya apabila pengguna melihat pada tiga titik pada produk berasaskan kulit, sudah pasti mereka menyangkakan ia adalah kulit babi.

“Bagaimanapun, tidak semua tanda tiga titik itu kulit babi, sebaliknya bahan sintetik yang dipanggil Polyurethane, langsung tiada kena mengena dengan haiwan larangan dalam Islam itu.

“Ujian mendapati kulit babi mempunyai tiga titik yang tidak tersusun secara seragam dan tembus hingga ke belakang manakala Polyurethane adalah bahan sintetik yang menyamai kulit babi, mempunyai tiga titik tetapi polanya lebih tersusun,” katanya.

Katanya, kulit babi biasanya digunakan untuk produk berasaskan kulit yang diimport seperti kasut, beg, jaket, tali jam dan sarung telefon bimbit.

“Justeru, tidak hairanlah sesetengah penjual sengaja mendakwa ia produk kulit babi kerana mendapat permintaan yang tinggi, sekali gus mampu memperoleh keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

INFO

  • Tidak semua tanda tiga titik mewakili kulit babi.
  • Dua kaedah digunakan iaitu Mikroskopi dan Spektroskopi bagi membezakan kulit asli atau tiruan.
  • Kulit babi mempunyai tiga titik yang tidak tersusun secara seragam dan tembus hingga ke belakang.
  • Polyurethane adalah bahan sintetik yang menyamai kulit babi, mempunyai tiga titik tetapi polanya lebih tersusun. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.