Istana Selangor Sahkan Tun M Pulangkan Darjah Kebesaran

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pemulangan kembali Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais, dalam satu kenyataan pagi ini berkata, bekas perdana menteri dan isterinya memulangkan Darjah dan Bintang Kebesaran Sultan Selangor, pada 7 Disember lalu.

“Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran terbabit akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan,” katanya.

Difahamkan Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkamah Selangor (SPMS) dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) manakala Dr Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan SPMS.

Semalam, BH melaporkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memaklumkan Istana Selangor akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemulangan terbabit.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan sebuah portal berita yang menyiarkan mengenainya pagi semalam. – BERITA HARIAN

Leave a Reply