Orang Seram Tengok Saya – Syura

KUALA LUMPUR: Tersingkir daripada musim keempat Gegar Vaganza (GV4) selepas tujuh minggu ‘bertarung’, penyanyi Syura rupa-rupanya menyimpan cerita bagaimana dia merasa pelik dan kurang selesa sepanjang beraksi dalam program realiti itu.

Enggan mengaitkannya dengan mistik, Syura bagaimanapun mendakwa mengalami keadaan yang dianggapnya pelik seperti hilang suara dan kebas badan sepanjang berlatih dan membuat persembahan pada konsert mingguan.

Syura atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron mendakwa situasi itu mula dirasakan sejak September lalu.

“Semuanya bermula apabila saya secara kebetulan terserempak dengan seorang pakar motivasi terkenal, beberapa minggu lalu.

“Beliau bertanya kepada saya dan beritahu, dia berasa seram sebaik melihat saya, ..ketika itu, saya rasa bingung.

“Pada mulanya, saya enggan mengambil pusing, tetapi saya mengaku mengalami beberapa keadaan yang membuatkan saya jadi tidak selesa,” katanya kepada BH Online.

Syura mendakwa sepanjang GV4 berlangsung, sebelah kiri badannya sentiasa kebas dan suaranya akan hilang setiap pagi sehingga mengganggu persediaan.

Tambah penyanyi lagu Nazam Berkasih itu, usaha mendapatkan rawatan bagaimanapun terbantut akibat jadual harian yang sibuk dan padat.

SYURA tersingkir pada konsert Separuh Akhir Gegar Vaganza musim ke-4 yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. – Foto Khairul Azhar Ahmad

“Saya hilang 12 kilogram akibat situasi yang dialami. Saya juga muntah-muntah dan mengalami migrain yang teruk. Selain itu, saya kerap berpeluh setiap kali menyanyi dan berada di pentas.

“Namun, saya percaya dengan kuasa Allah dan akan berusaha untuk pulih,” katanya sambil menambah biar apapun yang berlaku, dia menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Tuhan.

Pada konsert separuh akhir kelmarin, Syura gagal mencapai impian beraksi di pentas akhir GV4 selepas diumumkan tersingkir dengan pungutan mata terendah 58.1 peratus.

Enam peserta yang layak ke final program realiti itu adalah Hazami, Liza Hanim, Aishah, Firman, Tia Jinbara dan Lan Solo. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.