RAJIN Platform Gelorakan Semangat Rakyat Cintakan Negara

PUTRAJAYA – Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam menggelorakan semangat dan jiwa rakyat mencintai negara melalui program Rakyat Jiwa Negara atau RAJIN, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM Shakib Ahmad Shakir.

Beliau berkata objektif program itu merangkumi usaha menerangkan kepada rakyat bahawa mereka ialah tulang belakang dan tunjang kesejahteraan negara dalam bersama-sama menjayakan dasar serta perancangan pembangunan yang dirangka kerajaan.

Beliau berkata melalui program cetusan Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad itu, warga KKMM akan turun padang menerangkan kepada masyarakat mengenai program serta perancangan kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan untuk kesinambungan pembangunan negara dan kesejahteraan negara.

“Melalui RAJIN, warga KKMM turut berpeluang merapatkan silaturahim antara kerajaan dan rakyat dan menerangkan kepada mereka bahawa rakyat ialah nadi sesebuah negara dan jika berhasrat menjadikan negara sejahtera, maka rakyat juga perlu sama disejahterakan.

“Apa yang telah dilaksanakan kerajaan selama ini memang bertumpu kepada memberi kesejahteraan kepada rakyat, membangunkan ekonomi, menjamin keselamatan…perkara ini yang perlu kita kongsikan dan menjadi matlamat RAJIN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerangkan tentang program RAJIN pada majlis Hello KKMM 3.0 yang turut dihadiri pengurusan tertinggi jabatan dan agensi di bawah kementerian itu di sini, hari ini.

Shakib berkata dengan gerak kerja yang tersusun, beliau percaya RAJIN berupaya menjadi satu program anjuran kementerian yang mampu menyemarakkan pembangunan sahsiah, jati diri dan cintakan negara di dalam jiwa setiap anggota masyarakat.

Beliau berkata selain program anjuran kementerian, inisiatif lain yang dilaksanakan Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang kesemuanya bergerak ke arah menyejahterakan rakyat serta mempunyai pengikut tersendiri mampu dijadikan platform dalam menjayakan objektif RAJIN.

“Apabila solidariti dan kepercayaan rakyat kepada dasar dan perancangan kerajaan dapat diperkukuh, mereka tentunya merasa bahagia, bersyukur serta akan berdiri teguh bersama rancangan menyejahterakan rakyat yang dirangka kerajaan,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply