Sambutan Meriah Bagi Perdana Menteri Di Sri Lanka

COLOMBO, 18 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberi sambutan meriah dengan penuh penghormatan polis sebaik sahaja beliau tiba di Istana Presiden di sini hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena.

Ketibaan perdana menteri diiringi batalion berkuda disambut dengan persembahan tarian tradisional ‘Kandian’ dan tembakan meriam 21 das, sebelum beliau memeriksa kawalan kehormat pada 10 pagi waktu tempatan.

Najib dan Sirisena kemudian mengadakan pertemuan empat mata selama kira-kira 30 minit, disusuli mesyuarat dua hala bersama anggota delegasi dari kedua-dua negara selama hampir satu jam, dan kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU).

Memorandum berkenaan adalah antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Republik Demokratik Sosialis Sri Lanka berkaitan kerjasama dalam bidang latihan bagi diplomat.

Dua lagi MoU membabitkan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) dan Sekretariat Penyelaras bagi Sains, Teknologi dan Inovasi Sri Lanka serta Science2Action dan Malaysian Bioeconomy Development Cooperation Sdn Bhd berhubung kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi serta sektor bioteknologi.

Perdana Menteri dan anggota delegasi dari kedua-dua negara kemudian menghadiri majlis makan tengah hari dihoskan Presiden di kediamannya.

Ini diikuti perbincangan meja bulat bersama peneraju industri terdiri daripada firma Malaysia, Sri Lanka dan antarabangsa, sebahagian besarnya mewakili sektor perkhidmatan termasuk telekomunikasi, teknologi komunikasi maklumat (ICT), pekilangan, pelancongan, perkhidmatan kewangan dan pertanian.

Setakat 2016, Sri Lanka merupakan rakan dagang ke-41 terbesar bagi Malaysia; destinasi eksport ke-33 terbesar; dan sumber import ke-67 terbesar. Bagi tempoh sama, Malaysia adalah rakan dagang ke-10 terbesar bagi Sri Lanka; destinasi eksport ke-37 terbesar dan sumber import ke-6 terbesar.

Eksport Malaysia ke Sri Lanka pada 2016 adalah US$ 579.9 juta (Januari-Oktober 2017: US$483.4 juta).

Eksport utama termasuk produk petroleum; minyak sawit dan produk berasaskan sawit; kimia dan produk kimia; produk elektrik dan elektronik; kayu gergaji; dan pengacuan.

Sementara itu, jumlah import dari Sri Lanka pada 2016 adalah US$59.2 juta (Januari-Oktober 2017: US$60.2 juta).

Import utama termasuk tekstil; pakaian dan kasut; makanan proses; getah asli; produk petroleum dan produk getah.

Pelaburan Malaysia di Sri Lanka berjumlah US$3.1 bilion menerusi 47 projek yang menyediakan 8,335 peluang pekerjaan.

— BERNAMA

Leave a Reply