Shahrir Samad Bukan Sekadar Menjenamakan Semula Felda

Oleh Ab Jalil Backer

Beberapa hari lagi akan genap setahun Tan Sri Shahrir Samad mengambil alih jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau mengambil alih dalam keadaan agensi ini terumbang-ambing dengan fitnah politik, pergolakan politik dalaman dan krisis kepimpinan Felda Global Ventures (FGV).

Jika sesiapa mengikuti sejarah Felda tentu tahu bahawa sejak 5 tahun terakhir ini agensi dan syarikat berkaitannya telah beberapa kali berhadapan dengan perubahan kuasa eksekutif. Berlaku penukaran dan pengguguran Pengurus Besar Felda, Ketua Pengarah Eksekutif FGV, penggantungan jawatan, siasatan dalaman, siasatan perkhidmatan awam dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tidak cukup itu FELDA juga menjadi bahan fitnah, gosip dan serangan parti politik bukan Barisan Nasional bagi tujuan meraih sokongan peneroka yang mempunyai peratusan besar pengundi di hampir 54 kerusi Parlimen.

Justeru apabila dilantik pada Januari 2017, Shahrir hanya mempunyai sekitar setahun untuk memulihkan imej Felda, bukan sahaja di kalangan peneroka tetapi juga kepada rakyat Malaysia dan pelabur di Bursa Malaysia, sebelum pilihan raya umum ke-14.

Sebagai ahli politik veteran dan bekas Menteri, Shahrir sedar beliau tidak punya banyak waktu untuk menjaga hati dan perasaan orang politik mahu pun pegawai dalaman.

Shahrir juga pasti sedar bahawa sebagai organisasi besar Felda akan sentiasa mempunyai kecaman dan kritikan. Berhadapan 112,635 peneroka, dan mungkin mencecah 500,000 orang jika termasuk ahli keluarga, Felda tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Apatah lagi suara pembangkang. Namun usaha dan perubahan perlu terus dilakukan untuk kepentingan peneroka dan kerajaan.

Mungkin satu-satunya matlamat beliau ialah untuk memulihkan keyakinan rakyat terutamanya peneroka dan pelabur terhadap Felda dan kerajaan.

Pemerkasaan Felda

Saya tengok masalah FELDA ini adalah lebih kepada persepsi dan salah faham, hingga ramai orang tidak boleh membezakan antara FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV), sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham, dan FELDA sebagai sebuah badan pihak berkuasa iaitu lembaga yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen. Jadi ada salah faham dan kekeliruan, bukan sahaja di peringkat peneroka tetapi juga pemimpin dunia perniagaan. – Tan Sri Shahrir Samad, ketika diwawancara oleh Bernama.

Antara langkah pertama Shahrir lakukan ialah mencadangkan pengasingan jawatan Pengerusi Felda dengan FGV. Berikutan itu, kerajaan telah melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi FGV yang baharu.

Sebelum ini jawatan Pengerusi Felda dan FGV telah dipegang oleh orang yang sama. Ini menyebabkan apabila berlaku kelemahan dalam FGV ia menimbulkan salah faham di kalangan peneroka seolah-olah itu kesalahan Felda. Penguasaan kedua-dua jawatan oleh seorang individu juga dilihat menghalang proses “check and balanced” dan ketelusan dalam pengurusan FGV.

Shahrir mahu Felda sebagai pemegang saham terbesar menjadi “bapa” kepada FGV bukan sama taraf lagi. Dengan kata lain FGV harus “menjawab” kepada Felda, bukannya Felda terpaksa mempertahankan setiap keputusan dan tindakan FGV.

Shahrir juga telah mendesak kemasukan tiga wakil Felda dalam Lembaga Pengarah FGV iaitu dua orang daripada pengurusan Felda dan seorang lagi dari Lembaga Pengarah FELDA. Ini dilihat sebagai langkah pemerkasaan Felda sebagai agensi yang menjaga kepentingan industri kelapa sawit, peneroka dan kerajaan.

Apabila dilantik sebagai Pengerusi, Shahrir juga telah melakukan perubahan drastik dalam salah satu cabang pelaburannya, Felda Invesment Corporation dengan mengarahkan semua Lembaga Pengarah FIC meletak jawatan dan menyusun semula pengurusan FIC yang menjadi kontroversi sejak beberapa tahun lalu.

FIC ditubuhkan pada 2 Julai 2013 bertujuan menjadi syarikat pelaburan FELDA dalam bidang pelaburan strategik bukan pertanian seperti pembinaan, perhotelan dan lain-lain.

Dalam perubahan itu Shahrir kemudian mengumumkan bahawa SPRM diminta menyiasat pelbagai keputusan perniagaan FIC seperti pembelian Hotel Grand Plaza Kensington di London, Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching dan Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu, Sabah.

Terbaru Felda membuat laporan polis ke atas transaksi mencurigakan projek pembangunan tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Ini semua dilakukan untuk bukan sahaja memulihkan imej felda tetapi juga pengurusan Felda secara keseluruhan.

Kebajikan Peneroka

Shahrir bukan sahaja sedang melakukan perubahan dan pembaharuan dalam pengurusan perniagaan Felda, malah turut mencadangkan inisiatif-inisiatif yang lebih dekat kepada peneroka dan yang “menjadi duri dalam daging” kepada peneroka.

Langkah pertama Shahrir ialah melakukan rombakan dan perubahan dalam FELDA Technoplant Sdn Bhd (FTPSB) dengan melantik bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab sebagai sebagai Pengerusi yang baharu.

Dzulkifli mempunyai lebih dari tiga puluh tahun pengalaman berkhidmat di FELDA dan pernah dilantik sebagai Pengarah Besar FELDA pada tahun 2009 sehingga tahun 2012 diharap mampu memulihkan imej anak syarikat felda ini yang menjadi sebahagian punca ketidakpuasan hati peneroka kepada Felda.

Felda Technoplant menguruskan ladang seluas 239,909.49 hektar melibatkan seramai 59,569 orang peneroka yang terdiri dari ladang berhasil, peringkat pembangunan dan tanam semula. Banyak rungutan peneroka berkisar soal pembayaran, pengeluaran hasil yang tidak berkualiti dan ladang tidak diurus dengan baik.

Selain itu, beberapa bulan lalu, Perdana Menteri Najib razak telah mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas, geran khas serta insentif perumahan.

Sebanyak 94,956 keluarga peneroka yang layak akan menerima bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000.

Selain itu, pada tahun ini FELDA telah membayar insentif hari raya berjumlah RM47.28 juta dan juga dividen FGV berjumlah RM26.47 juta. Keseluruhan RM 73.75 juta telah diagihkan kepada 94,555 peneroka yang bersama FELDA.

Muafakat Membawa Berkat

Di bawah kepimpinan Shahrir juga FELDA, buat pertama kali secara rasmi, menjemput 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA dan yang menyaman FELDA, untuk kembali bermuafakat bersama FELDA.

Peneroka yang kembali bermuafakat adalah layak untuk menerima insentif-insentif yang diumumkan oleh YAB PM bermula pada bulan Februari 2018.

Shahrir turut mengarahkan pengurus dan petugas rancangan FELDA membuat lawatan dari rumah ke rumah peneroka untuk berbincang secara bersemuka mengenai isu-isu yang dialami oleh peneroka.

FELDA turut menganjurkan Program Mesra FELDA atau pun Program Cakna Komuniti di Wilayah-wilayah FELDA bagi mendekati masyarakat peneroka dan memberi penjelasan berkaitan isu-isu yang dihadapi oleh peneroka.

Hampir setahun mengambil alih tampuk kepimpinan Felda, Shahrir Samad sedang melakukan transformasi dari atas sehingga ke bawah bagi mewujudkan Felda yang berwajah baru dan dipercayai oleh peneroka dan rakyat.

Felda di bawah Shahrir Samad bukan sekadar melalui retorik penjenamaan semula, tetapi merupakan perubahan-perubahan nyata dan berstruktur mampan. Felda sedang diubah menjadi sebuah agensi yang lebih bertanggungjawab, telus dan akan dipandang tinggi semula.– Feldavoice.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.