FELDA United Lebih Seronok – Iain Ramsay

IAIN Ramsay sudah hampir pasti menyertai kelab Prachuap FC yang beraksi dalam Liga Thailand apabila tawaran daripada FELDA United membelokkan haluannya ke Malaysia.

Pemain itu mendedahkan dia mengubah fikiran pada saat akhir kerana tertarik dengan tawaran FELDA terutama selepas mendapat pandangan positif daripada beberapa rakan senegara dari Australia yang beraksi di sini.

“Pengalaman menyeronokkan diceritakan rakan seperti Brendan Gan (Perak) dan Matthew Davies (Pahang) sepanjang mereka beraksi di sini sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan saya.

“Malah Dino Djulbic yang mewakili FELDA musim lalu turut menceritakan perkara yang sama serta menggalakkan saya menyertai kelab itu.

“Apatah lagi kesempatan menentang FELDA ketika bersama kelab Ceres Negros dalam Piala AFC musim lalu memberi gambaran jelas kepada saya tentang kemampuan pasukan ini,” ujar anak jati Australia itu tapi memilih untuk mewakili negara kelahiran ibunya, Filipina di pentas antarabangsa.

Ketibaan Ramsay petang semalam jelas melegakan jurulatih B Sathianathan yang memang mengidamkan khidmat pemain kebangsaan Filipina itu.

Ia sekali gus melengkapkan kuota empat pemain import FELDA yang turut dibarisi tiga pemain dari Brazil – Thiago Augusto Fernandes, Thiago Aquino Junior dan Gilberto Fortunato.

“Saya gembira akhirnya Ramsay memilih untuk menyertai FELDA selepas tawaran kami turut disaingi hebat oleh kelab Thailand. Malah laporan menyebut dia hampir pasti menyertai kelab itu.

“Saya mula terpikat dengan permainan Ramsay ketika dia mewakili Ceres Negros menentang FELDA dan JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam Piala AFC musim lalu.

“Walaupun bermain di bahagian tengah, namun dia mempunyai kemampuan menjaringkan gol yang mana menjadi salah satu kelebihan dirinya.

“Malah pengalamannya beraksi dalam Liga Australia bersama Sydney Olympic, Melbourne City dan Adelaide United turut menjadi aset,” kata Sathia. – HARIAN METRO

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.