Nicol Ke Suku Akhir Masters Saudi

KUALA LUMPUR: Nicol David bangkit daripada ketinggalan set pertama untuk menewaskan Joshna Chinappa dari India dan menempah tiket ke suku akhir Masters Wanita Saudi di Riyadh semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengambil masa 38 minit untuk menundukkan Chinappa 6-11, 11-5, 11-7, 11-7, pemain yang menjadi pesaing utamanya untuk perebutan pingat di Sukan Komanwel dan Asia tahun ini.

Menurut Nicol dia memperbaiki kesilapannya di set kedua dan memastikan Joshna, pemain ranking ke-14 yang mencuri satu set daripadanya sepanjang 14 pertemuan antara mereka, tidak mampu mengejarnya.

“Ia begitu sengit hari ini, anda tidak boleh melihatnya menerusi keputusan tetapi ia sangat sukar. Saya gembira dengan corak permainan saya, saya berpuas hati dengan perlawanan itu,” kata juara dunia lapan kali, Nicol.

“Saya gembira dengan cara saya bangkit di set kedua. Mungkin saya bermain lebih dekat jadi saya perlu memperkemaskannya, dan sering ke depan sebelum dia melakukannya.

“Saya rasa dia bermain dengan baik, dan saya sangat gembira dapat mencatat kemenangan 3-1.

Pada aksi suku akhir, Nicol akan bertemu pemain Mesir Nour El Tayeb yang mengejutkan pilihan kedua kejohanan Camille Serme dari Perancis 13-15, 11-13, 11-5, 11-6, 11-4.

Nicol, di ranking keenam dunia, dalam usaha memburu tempat di separuh akhir kejohanan dalam Siri Dunia PSA pertamanya sejak Terbuka British Mac tahun lalu.

Kali terakhir Nicol dan Nour bertembung ialah pada November 2016 di Terbuka Wadi Degla di Kaherah dengan ratu skuasy Malaysia itu memenangi kesemua sembilan pertemuan antara mereka. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.