Tenaga Pengajar Maut Kereta Bertembung Treler

MERSING: Seorang tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) maut, manakala anaknya parah selepas kereta mereka bertembung dengan treler, dalam kejadian di Kilometer 8 Jalan Jamaluang – Mersing, Kampung Gajah, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, Ahmad Azham Muhammad, 40, yang memandu kereta Toyota Caldina meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak lelaki yang berusia tujuh tahun, Muhammad Luqman, dilaporkan parah.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata siasatan awal mendapati treler dalam perjalanan dari Kemaman, Terengganu menuju ke Pengerang, dan mangsa pula dalam perjalanan dari tempat kerjanya di ILP Mersing.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu treler berusia 34 tahun terbabit dipercayai membrek kenderaan secara mengejut bagi mengelak sebuah kenderaan lain yang memasuki simpang sebelum treler itu berpusing dan memasuki laluan bertentangan.

KEMALANGAN di Kilometer 8 Jalan Jamaluang-Mersing, Kampung Gajah, menyebabkan seorang tenaga pengajar ILP Mersing maut, manakala anaknya parah. – Foto ihsan bomba

“Pada masa yang sama kenderaan mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak treler terbabit menyebabkannya bertembung dengan treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nuing berkata, mangsa yang beralamat di FELDA Bukit Aping Barat, Kota Tinggi, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, anak lelakinya patah peha kiri, selain luka di bahagian muka dan dirawat di Hospital Mersing.

Katanya, pemandu treler itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan bagi siasatan lanjut.

“Mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply