Bilut 2.0 Transformasi FELDA Yang Dahulu Kepada Yang Baharu – Shahrir Samad

BENTONG – Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyatakan Bilut 2.0 adalah langkah transformasi iaitu membawa perubahan balik semula FELDA kepada arah yang baru dan moden.

Tan Sri Shahrir Samad berkata ketika berucap merasmikan sambutan Hari Keluarga FELDA Lurah Bilut 2018 hari ini, FELDA merupakan agensi yang sudah lama berdiri dan perlu membuat perubahan yang agak berlainan dari dahulu agar menyuntik elemen yang baru kepada semua peneroka dan generasi baharu tanpa melupakan asal-usul FELDA.

Shahrir menyatakan transformasi Bilut 2.0 bermula di Lurah Bilut kerana FELDA Lurah Bilut mempunyai potensi untuk semua perkara termasuk pembangunan, pendidikan, pelancongan dan ‘human development’.

“Saya rasa ini satu peluang untuk bawa satu perubahan balik semula FELDA. FELDA sebagai agensi atau ‘badan’ pun dah ‘tua’, jadi mesti buat sedikit transformasi. Pembangunan dan perubahan FELDA di bawah Bilut 2.0 agak berlainan dari dahulu.

“Ada elemen dahulu tapi kita perbaharui dan menjadikan di Lurah Bilut sebagai permulaan transformasi keseluruhan FELDA itu sendiri. Contohnya di Lurah Bilut ada muzium, menjadi tumpuan pelancong tempatan dan pastinya akan menarik pelancong tempatan,” kata Shahrir.

Selain itu, mengikut dari sejarah penubuhan FELDA, pembukaan FELDA Lurah Bilut merupakan tanah rancangan pertama yang dijadikan eksperimen untuk pembangunan modal insan di kalangan rakyat yang memerlukan pembaharuan dan peningkatan nilai dan sosial kehidupan.

Usaha kerajaan membuahkan hasil kerana segala usaha dan keringat yang ditabur bersama dengan peneroka-peneroka FELDA telah membuatkan FELDA hari ini terkenal di seluruh dunia dan agensi pertama di dunia mengenai pengurusan tanah secara besar.

“Kalau kita balik asal pembukaan Lurah Bilut sebenarnya satu eksperimen sebelum ada akta Lembaga Tanah Kemajuan dibuka dan dibuat. Lurah Bilut sebagai satu inovasi eksperimen dan ini kita perlu faham dengan betul di mana eksperimen itu adalah reformasi yang berani ketika itu. Tiada tanah atau model di mana-mana negara pun.

“Perlu faham juga bukan hasrat kerajaan untuk rakyat membangunkan tanah tetapi yang dihasrat oleh kerajaan dan FELDA adalah pembangunan insan – ‘human development’, membangungkan kehidupan manusia yang betul, beri tanah, beri pekerjaan dan hasilnya, merasa segala keringat yang ditabur,” kata Shahrir.

Justeru, Bilut 2.0 juga merupakan eksperimen sekali lagi dirancang oleh FELDA untuk terus mengukuhkan jenama dan nama FELDA agar kekal ditempat teratas sebagai model pembaharuan kehidupan manusia.

Shahrir turut memberitahu pelbagai pihak, agensi dan syarikat juga memberi sokongan dengan memberi sumbangan dan khidmat untuk Bilut 2.0.

“Ini merupakan eksperimen yang perlukan sokongan dari semua pihak. Kita perlu buka minda dan bantu FELDA untuk transformasi dengan cara kita pulang balik ke FELDA.

“Inilah hala tuju FELDA Bilut 2.0, transformasi FELDA untuk hidupkan kembali semangat juang, daya tahan di kalangan generasi bahari FELDA yang tidak lagi perlu berhijrah untuk berjaya,” katanya.

Shahrir mengumumkan Lembah Digital Bilut akan dilancarkan pada 24 Februari depan di FELDA Lurah Bilut secara ‘video conferencing’ yang ditayangkan ke seluruh tanah rancangan di Malaysia dengan menggunakan satelit.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.