Mahu Pegawai Felda Beri Penerangan Di Bera – Ismail Sabri

BERA – Anggota Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan kehadiran pegawai ibu pejabat Felda untuk menjelaskan isu berkaitan agensi kerajaan itu kepada peneroka tanah rancangan di kawasan ini.

Beliau berkata penerangan tepat perlu dilakukan supaya peneroka tidak dikelirukan dengan pelbagai isu berkaitan Felda khususnya kontroversi hak milik tanah di Jalan Semarak, yang mungkin dijadikan modal politik pembangkang.

“Kita berharap isu Felda dijawab sendiri oleh orang Felda yang lebih tahu tentang fakta apa sebenarnya yang berlaku. Perkara sebegini lebih baik diterangkan sendiri oleh mereka daripada orang politik.

“Jika orang politik bercakap ada yang memandang remeh sebab beranggapan itu hanya cakap-cakap politik … tapi kita sebenarnya mahu masyarakat dapat penerangan yang tepat,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Simulasi Hari Pengundian P090 Bera anjuran Biro Latihan UMNO Pahang di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply