Fizi & Shakilla Bakal Bernikah 18 Februari

KUALA LUMPUR: Selepas tertangguh hampir dua bulan, akhirnya penyampai radio Suria FM, Fizi Ali dan pelakon, Shakilla Khoriri mencapai kata putus bernikah di dewan keraian di sebuah pusat beli-belah, di sini pada 18 Februari depan.

Fizi memberitahu, niat untuk bernikah Disember lalu tertangguh disebabkan beberapa masalah.

“Antara masalah itu termasuklah mencari dewan mengadakan majlis resepsi. Jadi, semua urusan tertangguh sehingga bulan ini.

“Namun, alhamdulillah, semuanya sedang diuruskan sebaik mungkin sekarang. Setakat ini, kira-kira 70 peratus persiapan perkahwinan sudah dibereskan,” katanya kepada BH Online.

Fizi yang mula intim dengan Shakilla sejak lebih empat tahun lalu, bertunang pada 16 Julai lalu.

Mengikut perancangan mempelai, majlis akad nikah akan diadakan pada pagi, disusuli acara resepsi pada sebelah malam di premis sama.

Fizi mengaku faktor pertindihan masa antara waktu kerja dirinya dan Shakilla menyukarkan mereka membuat persiapan.

“Faktor masa menjadi suatu masalah besar. Saya bertugas di konti radio pada sebelah pagi. Shakilla pula berlakon dari pagi hingga malam. Ada kalanya kami susah hendak berjumpa.

“Apabila Shakilla habis kerja, saya sudah tidur. Itulah putaran hidup kami, jadi kami hanya berhubung di telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Shakilla ketika dihubungi memberitahu, majlis nikah dan resepsi sengaja diadakan di tempat sama.

“Senang kalau buat di tempat sama. Lagipun, kami tidak merancang untuk mengadakan majlis lain selepas ini,” kata Shakilla yang masih sibuk melunaskan penggambaran drama Geng Tadarus untuk siaran Ramadan di RTM. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.