RM14.37 Juta Bantuan Bulanan Di Limbang Tahun Lalu

LIMBANG: Sejumlah RM14.37 juta bantuan bulanan diperuntukkan di Bahagian Limbang tahun lalu, membabitkan 4,074 penerima.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata Skim Bantuan Orang Tua mempunyai jumlah penerima tertinggi, iaitu 1,990 orang.

Beliau berkata, sebanyak RM7.16 juta dibelanjakan setahun bagi membela kebajikan warga emas berkenaan membabitkan bantuan RM300 sebulan.

“Kerajaan sentiasa memandang serius kebajikan warga emas yang tiada sumber pendapatan untuk menyara hidup. Skim bantuan itu hanya untuk warga emas yang tiada keluarga atau mempunyai keluarga tidak berkemampuan memberi sumbangan.

“Bantuan itu diteruskan demi memastikan hak mereka berada dalam komuniti dipertahankan,” katanya ketika berucap pada Program Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Limbang, Jamalie Busri; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang, Haslinda Supu; dan wakil masyarakat Cina, Penghulu Chua Beng Soon.

Pada program itu, seramai 110 penerima bantuan bulanan di Bahagian Limbang menerima sumbangan wang tunai dan hamper.

Secara keseluruhan, Fatimah berkata, sebanyak 227 atau 5.57 peratus penerima bantuan layak menerima sumbangan itu bertujuan meringankan beban kewangan, selain menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina bakal menjelang.

“Bagi penerima yang gagal hadir pada hari ini, sumbangan wang tunai akan dikreditkan ke akaun masing-masing,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.