Sekali Hirup Kopi, Terus Pening Dan Panas

GEORGETOWN: “Kopi itu diberi rakan perempuan sekerja kami. Saya baru hirup sedikit dan terus rasa panas serta pening kepala,” kata seorang mangsa kopi campuran segera, Sapkota Mangal Prasad.

Sapkota, 45, yang juga warga Nepal berkata, dia dan rakannya, Bishnu Shretsna, 41, kali pertama merasai kopi itu dan tidak menyangka ia memberi kesan buruk kepada mereka.

“Saya minum kopi itu bersama Bishnu pada jam 9.30 pagi untuk sarapan ketika di tempat kerja.

“Tidak lama kemudian, saya terus pening kepala dan rasa seperti berpusing dengan laju. Saya hanya sedar selepas berada di hospital,” katanya yang sudah tinggal di Malaysia selama 14 tahun.

Terdahulu, Sapkota dan Bishnu menerima kunjungan Konsul Nepal di Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Cheng Guan berkata, pihaknya masih menunggu laporan analisis sampel kopi berkenaan daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan.

“Saya harap pihak berwajib dapat menyiasat perkara ini dengan terperinci kerana kita tidak mahu ada orang lain pula yang menjadi mangsa selepas ini,” katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan lima individu menerima rawatan di HPP, selepas minum sejenis kopi campuran segera.

Video Sapkota dan Bishnu mengalami gejala lemah dan letih keterlaluan selepas minum kopi berkenaan viral di media sosial. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.