Iskandar Kejutkan Pilihan Kedua

KUALA LUMPUR: Sentuhan Datuk Misbun Sidek terhadap Iskandar Zulkarnain Zainuddin mula memberi kesan positif buat pemain itu yang melakar kejutan mara ke suku akhir Terbuka India, sebentar tadi.

Iskandar mengejutkan pilihan kedua kejohanan yang juga pemain tuan rumah, K Srikanth 21-19, 21-17 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi.

Kejayaan kali ini dilihat mampu menutup mulut pengkritik terhadap Iskandar selepas kemampuannya sebelum ini diragui terutama apabila disenaraikan untuk menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah minggu depan.

Pemain ranking ke-85 dunia itu akan berdepan seorang lagi pemain India, Sameer Verma bagi merebut tempat ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki, Tan Wee Gieen-Shia Chun Kang dan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Teoh Mei Xing apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Wee Gieen-Chun Kang tewas kepada pilihan ketujuh dari Indonesia, Angga Pratam-Rian Agung Saputro 20-22, 17-21 manakala Chiew Sien-Mei Xing terpaksa akur dengan kehebatan Della Destiara Harris-Amelia Rizki Pradipta dari Indonesia 6-21, 15-21. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.