Jenazah Budak Mangsa Dera Dikebumikan Di Ipoh

IPOH: Jenazah Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya di Negeri Sembilan semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kepayang, Fairpark di sini, jam 9.30 malam ini.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan ketika pengebumian yang turut dihadiri ibu kandung kanak-kanak itu yang kelihatan sebak.

Bapa kanak-kanak itu berusia 38 tahun dan ibu tirinya 30-an yang juga suspek dalam kejadian itu turut hadir dengan dibawa anggota polis dalam keadaan tangan kedua-dua mereka bergari menyaksikan pengebumian berkenaan.

Terdahulu, jenazah kanak-kanak malang berkenaan yang dibawa dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan tiba di tanah perkuburan itu pada jam 8.30 malam untuk dikebumikan.

Keluarga termasuk ibu kandung mangsa bagaimanapun enggan ditemubual oleh wartawan yang hadir di tanah perkuburan.

Nur Aina Nabihah dilihat tidak sedarkan diri oleh bapanya pada jam 11.30 malam kelmarin, sebelum lelaki itu yang juga anggota tentera cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu namun tidak berjaya.

Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, untuk rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 12.30 tengah malam.

Bedah siasat kemudian mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada organ dalaman dengan buah pinggang mangsa rosak, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.