Letupan Bunga Api: Polis Tahan 4 Lelaki

SUNGAI PETANI: Polis telah menahan empat lelaki susulan kejadian letupan bunga api ketika perarakan Thaipusam di sini malam tadi yang mencederakan lebih 30 pengunjung.

Ketua polis Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata kesemua lelaki berkenaan, umur antara 25 and 34 tahun ditahan di lokasi kejadian di Jalan Sekerat sejurus kejadian 8.30 malam berkenaan.

Saifi berkata pasukan Forensik telah menemui kesan letupan bunga api di lokasi kejadian dan polis menolak unsur sabotaj dalam kejadian tersebut.

“Pasukan Forensik telah menemui beberapa kesan letupan di lokasi.

“Kita telah menahan empat lelaki di lokasi dan berdasarkan kepada siasatan awal, tiada elemen sabotaj atau khianat dalam kejadian berkenaan. Ini adalah semata-mata untuk meraikan sambutan Thaipusam sementara menunggu ketibaan perarakan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Saifi, empat dari 26 pengunjung yang tercedera dalam insiden berkenaan, termasuk kanak-kanak berusia lima tahun, dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.