Mira Filzah Tarik Golongan Muda Tonton Nona

KUALA LUMPUR: Pengalaman ditambah perwatakan bersahaja dan mampu menggalas tanggungjawab hos dengan baik membolehkan Mira Filzah menarik ramai golongan muda mengikuti Nona.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, berkata pemilihan pelakon itu memang melengkapi program yang lebih tiga dekad bersiaran hingga jumlah tontonan meningkat sebanyak 10 peratus.

“Fokus program ini tidak pernah tersasar daripada mengupas pelbagai isu berkaitan wanita sama ada di dalam mahupun luar negara, malah kehadiran Mira selaku pengacara baharu terus memantapkan lagi pengisian yang mahu disampaikan.

“Sudah tentu Nona tidak pernah menghampakan penonton setia dengan menyalurkan informasi bermanfaat yang secara tidak langsung memperkasakan wanita.

“Melihat maklum balas ramai menerusi peningkatan peratusan jumlah tonton sejak awal tahun, kami percaya semakin ramai penonton muda mengikuti program ini,” katanya kepada BH online.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, mula bersiaran bersama Nona sejak 7 Januari lalu dan hingga kini sudah pun menjalani penggambaran lapan episod program terbabit.

Dunia pengacaraan bukan asing bagi gadis berhijab ini apabila pernah bergelar hos rancangan Qari Jr 2015, 3 Juara, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 dan Mahligai Cinta.

Sejak disiarkan TV3 pada 1985, Nona pernah diterajui oleh personaliti seperti Dian P Ramlee, Puan Sri Normala Samsudin, Maya Karin, Nurul Syuhada Nurul Ain, Fiza Sabjahan, Neelofa, Fara Fauzana dan Uyaina Arshad.

Selain di kaca TV, Nona juga dapat diikuti menerusi portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP atau layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube, Instagram TV3. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.