Selangor Mula Langkah Kanan

KUALA LUMPUR: Gelaran Raja Lembah Klang menjadi milik Selangor selepas mereka berjaya menundukkan seteru tradisi, Kuala Lumpur 2-0 pada aksi tetangga Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Ini sekali gus menyaksikan anak buah P Maniam itu membuka saingan liga musim ini dengan kemenangan sementara Kuala Lumpur terpaksa akur tewas pada penampilan pertama aksi Liga Super dalam tempoh lima tahun.

Pada perlawanan berkenaan, kedua dua pasukan memperaga aksi cukup berhati-hati yang menyaksikan tiada percubaan berbahaya dapat disaksikan sepanjang tempoh 10 minit pertama.

Namun, Selangor terlebih dahulu beroleh rentak dan mendahului permainan seawal minit ke-15 apabila hantaran lintang Azamuddin Akil ditanduk Rufino Segovia untuk gol pembukaan.

Selangor terus garang memburu gol kedua menerusi gerakan pantas Ilham Udin Armaiyn dari sayap kiri namun hantarannya disia-siakan Rufino yang berada di hadapan pintu gol pada minit ke-31.

Peluang keemasan Kuala Lumpur memperolehi gol penyamaan hadir pada minit ke-37 namun pertahanan muda Selangor, K Kannan menyelamatkan gawang selepas menafikan percubaan Ashri Chuchu meskipun penjaga gol, Norazlan Razali sudah tertewas.

PEMAIN Selangor, Evan Dimas Darmono (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

Babak kedua bersambung, benteng pelawat cemas apabila Josue berjaya melepaskan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti namun dinafikan palang gol pada minit ke-63. Selang tujuh minit, Norazlan pula menyelamatkan sepakan percuma Junior Aparecido.

Pemain gantian Selangor, M Thamil Maran nyaris menghadiahkan gol kedua buat pelawat pada minit ke-75 namun tandukannya hinggap di palang sebelum dikeluarkan pertahanan Kuala Lumpur.

Hasrat Kuala Lumpur untuk bangkit terpadam selepas Rufino meledak gol kedua pada masa tambahan separuh masa kedua sekali gus mengesahkan tiga mata untuk Selangor. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.