BAKAT MUDA BOLA SEPAK JOHOR MENGINTAI PELUANG BERMAIN BOLA SEPAK DENGAN PASUKAN TERBAIK LIGA SUPER MALAYSIA

Fenomena pasukan bola sepak JDT di Johor sememangnya tidak dapat dibendung. Di usia 12 tahun, kanak-kanak warga Johor sudah berani mencuba bakat mewakili pasukan daerah ke peringkat lebih tinggi.

Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Johor Bahru (JBFA) mengadakan sesi pemilihan pemain-pemain muda bawah 12 tahun untuk mewakili daerah ini ke peringkat negeri. Seramai 170 orang mencuba nasib mengetengahkan bakat masing-masing dalam sesi pemilihan yang diadakan selama 2 hari ini.

Sesi pemilihan yang berlangsung di Padang Sri Gelam, Bandaraya Johor Bahru ini adalah sesi memilih pemain terbaik daerah ini untuk mewakili daerah Johor Bahru ke Pertandingan Piala Tunku Putra peringkat negeri Johor.

Menurut Timbalan Presiden, JBFA Datuk Yahya Jaafar yang turut hadir meninjau sesi pemilihan ini, JBFA mengadakan sesi pemilihan seumpama ini setiap tahun bagi mencari bakat-bakat muda di daerah Johor Bahru. Ini diadakan bagi mengelakkan daripada ada pemain yang terlepas peluang mewakili daerah ini jika mereka benar-benar baik dan berbakat dalam bola sepak.

Sesi pemilihan 2 hari ini turut memilih pasukan bola sepak bawah 14 tahun bagi mewakili daerah Johor Bahru ke pertandingan merebut Piala Tunku Putra 2018.

Seramai 250 orang bakat muda hadir dalam sesi pemilihan ini. Kira-kira 50 orang bagi setiap peringkat umur terpilih untuk ke peringkat seterusnya sebelum disenaraipendek dan dikira sah untuk mewakili pasukan ini. Mereka akan menjalani beberapa siri latihan yang diaturkan oleh JBFA.

Leave a Reply