Diana Kongsi Gambar Bersama Suami

KUALA LUMPUR: Selepas hanya kerap memuatnaik entri luahan perasaan dan rindu terhadap Datuk Farid Kamil, Datin Diana Danielle akhirnya berkongsi foto bersama suaminya di Instagram.

Berkongsi gambar itu dengan pengikutnya semalam, kali akhir Diana berbuat demikian adalah pada penghujung tahun lalu. Sebelum ini, sejak beberapa minggu lalu, aktres itu hanya dilihat berkongsi aktiviti diri, foto atau video anak-anak dan perkembangan kerjaya seninya di laman sosial berkenaan.

Menerusi perkongsian terbabit, Diana memberikan kata-kata semangat dengan menyifatkan setiap individu yang sabar pasti akan mendapat bimbingan Allah.

“Ketika langit gelap, manusia tidak mempunyai kuasa untuk mengembalikan matahari kecuali Yang Maha Esa.

“Begitu juga dengan mereka yang melalui kesukaran, juga dalam kegelapan. Tetapi Allah menyayangi dan akan membimbing mereka yang sabar. Dia sentiasa berada di sisi kita. Jangan takut dan bimbang,” tulis pelakon Hanyut itu.

Perkongsian berkenaan nyata mendapat perhatian ramai pengikutnya yang tidak ketinggalan menghulurkan sokongan dan mendoakan kebahagiaan pasangan terbabit.

“Alhamdulillah, saya mendoakan kebahagiaan awak bersama suami dan anak-anak,” kata pengikutnya yang menggunakan akaun @sunshiny87.

“Semoga dipermudahkan urusan, mendapat petunjuk dan perlindungan Allah SWT. Bahagia dunia dan akhirat. Sentiasa dekatkan diri dengan Allah,” ujar @nursayha.

Sebelum ini, Farid ditahan reman selama beberapa hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengamuk dan menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Dalam prosiding pada 16 Januari lalu, Farid bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, selain berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di balai berkenaan.

Mahkamah membenarkan Farid diikat jamin RM12,000 untuk semua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Seminggu selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan anggota polis dan orang awam, Farid sekali lagi dibawa ke mahkamah sama, 25 Januari lali, kali ini bagi dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan.

Pelakon yang popular dengan filem Lagenda Budak Setan itu kelihatan tenang dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.

Farid dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.