Karnival Food Truck Tawar Menu Rakyat RM5

KUALA LUMPUR: Menu rakyat serendah RM5 menjadi tarikan utama kepada pengunjung Karnival Food Truck di tempat letak kereta terbuka Pusat Persidangan Kuala Lumpur  (KLCC), di sini.

Menghimpunkan 20 peniaga trak makanan, program berkenaan dianjurkan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2018 dan Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9).

Operasi trak makanan itu bermula pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam sehingga 13 Februari ini.

Shaiful Razman Abdul Hamid yang mengusahakan  masakan barat iCook, bersyukur kerana dipilih menyertai karnival berkenaan.

“Saya rasa istimewa sebab terpilih bersama 19 peniaga  lain. Apa yang penting, kita ada menu rakyat RM5 yang ditawarkan setiap peniaga di sini.

“Dengan pengenalan menu rakyat, mereka yang berpendapatan rendah pun boleh menikmati hidangan kami,” katanya kepada mStar Online.

Shaiful Razman Abdul Hamid, salah seorang peniaga trak makanan yang menjual makanan barat.

Berpengalaman dalam bidang masakan selama 15 tahun di Dublin, Ireland, Shaiful memulakan perniagaan trak makanan pada Mac tahun lalu dan beroperasi secara tetap di Tapak Urban, di ibu negara.

Dalam pada itu, tinjauan mStar Online mendapati karnival yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak putus-putus dikunjungi penduduk tempatan dan pelancong asing.

Terletak di lokasi yang strategik, tapak karnival ini turut menyediakan tempat makan berbumbung dilengkapi kipas sekaligus memberi keselesaan buat pengunjung.

Antara hidangan lain yang ditawarkan ialah nasi oyen masak sambal serai, mee rebus, quesadilla, nasi briyani dan banyak lagi.

Ruang makan yang selesa turut disediakan untuk pengunjung.

Menurut dua pelancong asing yang ditemui, mereka mengakui teruja melihat seleksi hidangan Malaysia yang dijual di karnival berkenaan.

Emma Mecham, 19 dan Ben Hoffner, 18, masing-masing dari California, Amerika Syarikat berkata, mereka akan cuba sebanyak mungkin masakan Malaysia di karnival ini.

“Ada macam-macam makanan, semua terhimpun di satu lokasi. Senang untuk kami cuba semua. Setakat ini kami baru makan nasi briyani, sedap rasanya,” ujar mereka. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.