FELDA Di Johor Dilengkapi ‘Digital Super Highway’

MUAR: Kerajaan Johor melalui Digital Johor, akan membantu masyarakat FELDA merealisasikan usaha membawa kepantasan jalur lebar ke seluruh kawasan FELDA di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya akan memastikan tidak ada kawasan FELDA di Johor yang tersasar dari ‘digital super highway Johor’.

Katanya, langkah itu modal terpenting untuk kemandirian dan kemajuan FELDA dan lingkungannya.

“Pada masa sama, generasi kedua, ketiga dan generasi penerus FELDA mesti menggunakan modal baharu kelangsungan mereka dan modal yang dimaksudkan itu ialah ilmu dan kemahiran abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Pagoh yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Padang Awam FELDA Maokil, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada masa sama kerajaan akan membantu melatih ribuan generasi ketiga dan keempat FELDA dengan kemahiran bersifat sezaman.

Katanya, pihaknya mahu bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk melahirkan 5,000 millineal (orang muda) FELDA dalam bidang pertanian moden untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kita mahukan mereka menjadi usahawan tani. Mengusahakan pertanian untuk masa depanmereka yang lebih baik dan berteknologi.

“Kita percaya bahawa generasi pewaris FELDA mesti meneruskan tradisi berbakti kepada tanah tetapi perlu diupayakan dengan kemahiran baru dan teknologi,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juga khusus untuk melatih dan memberi kemahiran kepada anak muda FELDA melalui Tabung LatihanKemahiran Johor atau di bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Malah, katanya, bagi mengganda dan merancakkan lagi usaha itu, beliau turut memohon sumbangan dan sokongan Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat supaya memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tujuan latihan dan kemahiran anak muda FELDA.

Selain itu Mohamed Khaled berkata, inisiatif pemberian hak milik tanah FELDA adalah sesuatu yang sangat dipandang serius oleh kerajaan negeri.

“Pada kita ia bukan sahaja sekeping kertas rasmi tetapi hak milkk tanah adalah satu lambang kerja keras. Satu simbol dedikasi, kesabaran dan pengorbanan semua peneroka.

“Tanah FELDA, bagi kebanyakan peneroka dan keluarga, adalah satu cerita kemasyarakatan yang unik dan tersendiri. Yang menjadi bahagian penting dalam perjalanan Johor sebagai sebuah negeri,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sejak memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri sejak 2013, beliau memastikan yang pengeluaran hakmilik diproses dan diberikan perhatian dengan cara yang terbaik.

Beliau berkata, setakat ini 20,000 hak milik tanah peneroka sudah diselesaikan, manakala kira-kira4,000 ini belum diluluskan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.