Teruskan Usaha ‘Pemutihan’ FELDA

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mahu FELDA dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab dalam isu pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak.

Presidennya, Muhammad Fadzli Hasan, berkata tindakan khususnya daripada polis, perlu disegerakan kerana ia membabitkan integriti FELDA dan kepercayaan rakyat kepada agensi berkenaan.

“Oleh kerana hasil laporan audit forensik menunjukkan wujud kesalahan, pihak bersalah perlu dikenakan tindakan.

“Jika ia membabitkan kakitangan FELDA atau Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), tindakan tegas seperti dibuang kerja perlu dikenakan kerana ini kesalahan besar.

“Pihak berkuasa seperti polis juga perlu bertindak kerana jika dibiar berlarutan, rakyat akan semakin marah dan hilang kepercayaan pada FELDA,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas laporan audit forensik projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang menunjukkan berlaku ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam menjaga kepentingan FELDA.

Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengarahkan FELDA mengambil tindakan tatatertib dan tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuai dalam menjaga kepentingan agensi kerajaan itu dan sayap pelaburannya, FIC.

Sementara itu, Penasihat Gabungan Pemikir Profesional FELDA (GAPROF), Anuar Abdul Manap, berkata tindakan tegas terhadap pesalah akan menjadi pengajaran bukan saja pada FELDA, tetapi juga institusi lain supaya tidak berulang.

Beliau turut menggesa FELDA terus melakukan ‘pemutihan’ dengan memperbaiki proses tadbir urus dan pengurusan bagi mengembalikan kepercayaan peneroka kepada agensi berkenaan.

“Bukan isu ini saja, banyak lagi isu lain yang FELDA perlu lihat.

“Namun, kita juga tidak boleh terlalu menekan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad untuk memperbetulkan semua masalah dalam masa singkat, sebaliknya biar proses itu berlaku secara berterusan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply