Tiada Larangan Dagangan Dengan EU – Mustapa

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh melaksanakan larangan dagangan terhadap Kesatuan Eropah (EU) kerana Malaysia adalah negara yang melaksanakan ekonomi terbuka, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, larangan secara menyeluruh itu akan merumitkan keadaan kerana terdapat banyak syarikat dari Eropah yang beroperasi di negara ini serta sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, berikutan ancaman terhadap minyak sawit negara oleh blok EU, kerajaan boleh bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menentukan pembelian dan jualan barangan.

“Langkah itu boleh menjejaskan dunia perniagaan (termasuk Malaysia) kerana terdapat syarikat-syarikat EU yang menjalankan perniagaan di Malaysia. Antaranya Jerman, Belanda, Perancis, Britain dan Sweden.

“Namun sekiranya membabitkan pembelian oleh kerajaan, kita mempunyai kelebihan untuk menentukan dari mana kita hendak lakukan pembelian itu. Sama juga seperti GLC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan Kecemerlangan Operasi dan Produktiviti Sime Darby Plantation, di sini hari ini.

Parlimen Eropah pada April lalu meluluskan resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020, tindakan yang disifatkan diskriminasi produk Asia.

Eksport produk berasaskan komoditi di Malaysia berjumlah RM129.1 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tempoh Januari hingga November 2017.

Daripada jumlah itu, sejumlah 55.4 peratus atau RM71.5 bilion disumbangkan sektor sawit. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.