‘Lee Chong Wei’ Kena Kurung 2 Minggu

PENERBIT filem, Josiah Chieng berkata pencarian pelakon untuk watak Datuk Lee Chong Wei dalam filem autobiografi pemain badminton tersebut bukanlah mudah.

Menurut Josiah, produksi CB Pictures Sdn Bhd telah memilih 30 calon akhir dan mengurung mereka dalam sebuah rumah selama dua minggu.

“Bukan mudah untuk memilih pelakon yang bakal membawakan watak Lee Chong Wei, kita adakan uji bakat di beberapa buah negeri dan telah dihadiri hampir 2,000 orang.

 

Josiah Chieng, Penerbit CB Pictures.

“Daripada jumlah tersebut, 30 orang telah disenarai pendek dan mereka melalui ujian di sebuah rumah selama dua minggu dan tidak dibenarkan bertemu orang luar termasuklah keluarga.

“Mereka yang terpilih telah melalui beberapa ujian bagi memastikan watak tersebut benar-benar sesuai,” katanya kepada mStar Online.

Josiah ditemui semasa sidang media filem Lee Chong Wei, Menjulang Kejuaraan yang diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tosh Chan memegang peranan membawa watak Chong Wei.

Dalam sidang media tersebut, artis Nabila Razali dan Priscilla Abby turut diumumkan sebagai penyanyi untuk lagu tema filem berkenaan.

Sementara itu, Josiah berkata, setelah melalui beberapa peringkat ujian, bakat baharu Tosh Chan dipilih membawakan watak Lee Chong Wei.

Josiah turut  memberitahu mereka memilih Tosh kerana remaja tersebut memiliki wajah dan karakter yang hampir sama dengan pemain badminton ranking nombor dua dunia itu.

 

Nabila Razali dan Priscilla Abby dipilih menyanyikan lagu tema filem tersebut.

“Kita bukan sekadar mencari pelakon yang memiliki wajah hampir sama dengan Chong Wei, kita mahu yang mempunyai sikap merendah diri sama seperti dia juga.

“Kita pun tahu karakter Chong Wei yang sangat humble dan itu turut menjadi faktor pemilihan pelakon utama. Oleh sebab itu kami merasakan Tosh sesuai dengan watak tersebut.

“Dia ada kesungguhan untuk bergelar pelakon dan meminati sukan badminton. Jadi inilah peluang untuk Tosh membuktikan kemampuan diri,” ujarnya.

Josiah (kiri) bersama barisan pelakon filem Lee Chong Wei.

Dalam pada itu, tayangan sulung filem Lee Chong Wei, Menjulang Kejuaraan versi tambahan berdurasi 133 minit itu akan diadakan di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City pada 9 Mac depan.

Filem arahan Teng Bee ini turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Jake Eng, Ahsley Hua dan Agnes Lim.

Tiket untuk acara ini dijual pada harga RM88, RM108 dan RM128 dan ia boleh dibeli menerusi myticket.asia mulai 20 Januari ini. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.