Ibu Suspek Dera Amah Ditahan

SEBERANG JAYA: Polis sudah menahan ibu kepada dua suspek kes pembantu rumah warga Indonesia yang maut petang semalam dipercayai didera majikannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata wanita berumur 60 tahun itu ditahan di hadapan sebuah firma guaman di Jalan Green Hall di Georgetown pada jam 2.30 petang tadi.

Difahamkan, suspek mengunjungi firma guaman itu untuk mendapatkan khidmat undang-undang bagi membebaskan dua anaknya yang ditahan.

Sementara itu, polis mengesahkan kematian mangsa dikenali sebagai Adelina Lisao, 26, adalah akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.

Nik Ros Azhan berkata, bedah siasat diketuai Dr Amir Saad Abdul Rahim di Hospital Seberang Jaya mendapati mangsa dipercayai diabaikan sehingga kehilangan banyak darah.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa diabai dan dibiarkan tidak terurus dalam tempoh masa lama, sehingga menyebabkan dia meninggal dunia. Semuanya akan disiasat nanti,” katanya.

KONSUL Konsuler Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Neni Kurniati (tengah) semasa hadir di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, berkenaan pengurusan mayat seorang mangsa wanita Indonesia didakwa cedera serta lebam dan luka di beberapa anggota badan akibat didera majikannya. – Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kelmarin, Adelina berjaya diselamatkan polis selepas dilaporkan didera oleh majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, di sini.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, muka dan kedua-dua kaki, meninggal dunia petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Polis menahan dua beradik berusia 36 dan 39 tahun yang juga majikan Adelina bagi membantu siasatan, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu Pejabat Konsulat Indonesia Pulau Pinang menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes berkenaan.

Timbalan Konsul Jeneralnya, Osrinikita Zubhana, berkata pihak polis diharap menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

“Kita memberi perhatian amat serius terhadap isu ini kerana membabitkan seorang warga kami.

“Justeru, kita berharap dengan bantuan pihak polis di sini, kes ini dapat diselesaikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keluarga Adelina sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kita akan memberi sebarang bantuan diperlukan mereka,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply