Kitab Ala Tajul Muluk Rujukan Penceroboh

LAHAD DATU: Jadual khas mengandungi strategi dan perancangan menyerang anggota keselamatan, antara pelbagai barangan milik pengganas yang dipamerkan dalam sebuah galeri di Pos Kampung Tanduo.

Ia dipercayai dirancang oleh anggota pengganas Sulu berdasarkan pelbagai simbol pada buku menyerupai kitab lama ala Tajul Muluk yang ditemui di lokasi persembunyian mereka di Kampung Tanduo sebelum ditumpaskan pasukan keselamatan menerusi Ops Daulat pada 5 Mac 2013.

Berdasarkan jadual khas terbabit, penceroboh dari selatan Filipina dipercayai membuat persiapan awal sebelum belayar ke Kampung Tanduo.

Berdasarkan buku itu, penceroboh dipercayai membuat jadual memaparkan lima simbol baik atau mencapai kemenangan, kosong (tiada sebarang hasil), isi (memperoleh sesuatu), mayat (bermaksud ada anggotanya terbunuh) dan hidup (semua anggota selamat).

Dibina selepas tamat pertempuran antara kumpulan pengganas dengan pasukan keselamatan, galeri berkenaan menyimpan 23 peralatan dengan sebahagiannya ditemui di Kampung Tanduo.

Turut dipamerkan ialah tangkal berwarna hitam yang tergantung pada dinding galeri yang mana difahamkan mengikut kepercayaan ahli kumpulan pengganas, ia menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.

Selain itu, turut dipamerkan ialah gambar musuh yang berjaya ditahan dan dibunuh ketika tercetus perang dengan pasukan keselamatan.

Gambar keadaan selepas pertempuran di Kampung Tanduo, selain peralatan dan pakaian musuh antaranya parang atau barong, baju dan seluar celoreng pengganas turut menjadi bahan tatapan.

Turut menarik perhatian ialah model pertempuran dan model pencerobohan musuh di Lahad Datu serta peta atur gerak pasukan keselamatan, selain peta sempadan Sabah dengan Filipina.

Orang ramai bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki Pos Kampung Tanduo kerana ia diisytiharkan sebagai zon operasi dan perlu mendapat kebenaran pihak ESSCOM untuk memasukinya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.