“Penat Dah Cakap! Anak Bawah Jagaan JKM” – Isteri Aliff Syukri

ISTERI kepada usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid berkata mereka mempunyai sebab tidak membawa dua anak angkat menyertai percutian ke United Kingdom.

Menurut Shahida, 32, Ameena dan Qayyum tidak boleh ke luar negara kerana masih terikat dengan peraturan ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Penat dah saya terangkan, Qayyum dan Ameena tidak boleh dibawa ke luar negara selama dua tahun kerana masih di bawah jagaan JKM, selepas tempoh tersebut barulah boleh buat pasport.

 

Aliff dan Shahida bersama anak angkat mereka, Qayyum dan Ameena.

“Memandangkan Ameena bukan warganegara Malaysia, dia mungkin dibenarkan membuat pasport setelah berusia 18 tahun. Buat masa ini kita ikut sahaja syarat yang telah ditetapkan.

“Jangan buat andaian mengatakan kami tak bawa sekali sebab mereka anak angkat. Kalau boleh kami nak bawa semua ke sini,” katanya yang kini sedang bercuti bersama keluarga di Kota London sejak Sabtu lalu.

Shahida menjawab persoalan pengikut semasa sesi siaran langsung di laman Instagram milik suaminya pada Selasa.

Shahida (kiri) menjawab persoalan seorang pengikut semasa siaran langsung di Instagram milik suaminya @aliffsyukriterlajaklaris.

Bercakap mengenai kecaman yang diterima suaminya di laman sosial, bekas ahli kumpulan nasyid Solehah ini menasihati netizen supaya tidak mudah melemparkan tohmahan dan kritikan tidak berasas.

Ujarnya, setiap manusia tidak sempurna dan adalah tidak wajar membuat kecaman kepada seseorang kerana kesilapan yang dilakukan.

“Kadang-kadang pelik juga, ada haters yang tak suka kami tapi masih nak tahu perkembangan. Kita hidup ini kena gembira saja.

Aliff dan keluarga sedang bercuti di Kota London.

“Semua manusia tak sempurna, ada kebaikan dan keburukan. Kalau kita tak suka seseorang, jangan kutuk-kutuk.

“Tak eloklah pandang rendah pada orang lain sebab hidayah itu milik Allah dan mungkin satu hari nanti dia akan berubah menjadi lebih baik,” ujarnya yang kini  hamil lima bulan.

Shahida dan Aliff Syukri Kamarzaman, 31, berkahwin pada Ogos 2007 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Ammar Ahyan, 10, Qadejah El Zahra, 8, dan Ibraheem Adham, 6 tahun.

Pasangan ini mengambil anak angkat, Ameena yang kini berusia 5 bulan dan Qayyum hampir tiga bulan. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.