Suri Rumah Antara Dalang Utama Tipu Umrah Ditahan

KUANTAN: Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai menjadi dalang utama kes penipuan pakej umrah baru-baru ini yang dikatakan turut melibatkan seorang suri rumah di Muadzam Shah, Rompin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 30 tahun, dari Taiping, Perak ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor pada Rabu ketika hadir untuk membantu siasatan.

“Suspek ditahan pukul 3 petang tadi dan dibawa ke IPD Kuantan di sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan kepada media malam Rabu.

Katanya suspek didakwa telah memperdayakan beberapa orang mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM300,000 ke akaun Syarikat Habib Resources sebagai bayaran untuk tempahan pakej mengerjakan umrah bermula November 2016 dan Oktober tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, syarikat berkenaan tidak dapat menyediakan pakej umrah berkenaan dan gagal memulangkan semula wang mangsa.

Pada 31 Jan lalu, seorang suri rumah, Zaiton Man atau Kak Ton, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Rompin atas 11 pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan jumlah kerugian RM44,000 sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan 48 individu termasuk peneroka Felda Keratong membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah selepas mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 ditipu wanita dikenali sebagai Kak Ton yang menawarkan pakej umrah.

Kak Ton dikatakan wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak. – Bernama

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.