Tanduo: ESSCOM Sentiasa Waspada Sebarang Ancaman

LAHAD DATU: Walaupun keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah terkawal dan dalam keadaan tenang, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak pernah sunyi daripada operasi bagi mengekang apa juga ancaman di perairan serta daratan.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata pihaknya masih mengekalkan tahap formasi yang ada sekarang di samping penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan kekuatan dan aset yang kita ada, Alhamdulillah setakat ini tahap keselamatan di ESSCOM terkawal dan tenang. Masyarakat pun tahu, kali terakhir penculikan berlaku ialah pada Disember 2016 dan sepanjang tahun 2017 hingga kini, tiada lagi insiden penculikan.

“Begitu juga keadaan di Kampung Tanduo terkawal dan ia ditutup dengan hanya menempatkan pos kawalan pasukan keselamatan,” katanya dalam temubual bersama NSTP sempena lima tahun pencerobohan pengganas Sulu di pejabatnya, baru-baru ini.

Hazanmi berkata, walaupun secara umumnya keadaan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tenang, ESSCOM bagaimanapun tidak duduk diam.

“ESSCOM ada tiga operasi utama setiap hari iaitu operasi bersepadu membabitkan gabungan antara agensi keselamatan serta penguat kuasa tempatan yang dijalankan dengan dikoordinasi daripada ESSCOM.

“Kita bukan sahaja fokus kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), malah apa sahaja kesalahan yang berlaku di depan mata, … kita akan ambil tindakan,” katanya.

Katanya, operasi kedua iaitu Ops Gasak pula memfokuskan kawasan tertentu manakala operasi ketiga, Ops Gasak Laut di kawasan perairan timur Sabah.

“Ops Gasak Laut dilaksanakan dari Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan berakhir di Kudat pada Disember lalu dengan fokus terhadap kumpit dan bot yang berada di tengah laut serta penempatan haram di pulau terpencil,” katanya.

Hazani berkata, antara cabaran paling utama dihadapi ESSCOM ialah sempadan Sabah yang begitu dekat dengan Filipina dan Indonesia.

“Di laut kita bersempadan dengan Filipina dan darat pula bersempadan dengan Indonesia. Ia meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Inilah kesempatan yang diambil pihak tertentu untuk melakukan jenayah rentas sempadan termasuk penculikan.

“Kita tidak dapat mengawal sepenuhnya. Bagaimanapun kita akan cuba yang terbaik untuk mengekang daripada berlakunya jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau juga menggesa masyarakat setempat sentiasa bekerjasama memberi maklumat dan jangan takut untuk menyampaikan apa sahaja maklumat kepada ESSCOM untuk penilaian dan tindakan.

“Ini kerana, tanpa sokongan masyarakat, ESSCOM tidak dapat bergerak. Objektif kita sama iaitu kita memerlukan keselamatan dan keamanan supaya masyarakat setempat khususnya di pantai timur negeri ini dapat bergerak bebas, ekonomi dan kehidupan harian berjalan lancar.

“Bagi mendekati penduduk tempatan, ESSCOM menggerakkan program Semarak Rakyat. Kita turun ke bawah bersama masyarakat dan menerangkan apakah yang perlu diketahui oleh masyarakat mengenai ESSCOM,” katanya.

Mengenai usaha menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di ESSZONE) yang berperanan sebagai barisan pertahanan kedua, Hazani berkata, pihaknya mengalu-alukan anggota RELA untuk bersama ESSCOM dalam penugasan di ESSZONE.

“Kita mengalu-alukan kerana anggota RELA ini adalah orang-orang tempatan dan memang kita perlukan orang tempatan bersama kita, sekali gus menjadi mata dan telinga kepada ESSCOM dalam membantu pasukan keselamatan menangani apa juga jenayah,” katanya.

INFO – ESSCOM

  • Ditubuhkan pada 7 Mac 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna
  • Operasi kawalan bermula dari Kudat hingga ke Tawau
  • Membabitkan kawalan di 10 daerah di pantai timur Sabah
  • 10 daerah itu ialah Kudat, Pitas, Kota Marudu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.