Eina Azman Hadiah Jam Tangan Mewah Buat Anak

KUALA LUMPUR: Genap dua tahun hari ini, anak kembar pelakon, Datin Paduka Eina Azman iaitu Arianna Aubrey dan Karl Kareef masing-masing dihadiahkan jam tangan mewah jenama Rolex.

Bintang Zombie Kilang Biskut itu berkongsi kegembiraan meraikan hari jadi si kembar melalui video yang dimuat naik melalui aplikasi Insta Story di Instagram.

Paparan visual itu menunjukkan Eina dan suami berada di gedung jam tangan di sebuah pusat beli-belah.

Dalam paparan berdurasi 32 saat itu, Eina yang juga isteri kepada usahawan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah memilih dua utas jam tangan berwarna merah jambu dan biru.

“Satu warna biru untuk Karl, satu warna pink (merah jambu) untuk Aubrey. Jadi ini hadiah untuk Aubrey dan Karl. Cantik…. Tiada yang bling-blingkah?” kata Eina dalam video itu.

Dalam video sama kedengaran suara suaminya meminta Eina memakaikan dua jam tangan terbabit kepada Aubrey dan Karl.

Terdahulu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2014 itu turut membeli gelang tangan emas bagi anak perempuan mereka. Eina dan Kaiser juga juga mengadakan majlis pra sambutan hari jadi dengan menjamu selera bersama keluarga.

Pemberian hadiah mewah bukanlah kali pertama dalam keluarga itu. Sebelum ini, Eina pernah menerima hadiah telefon pintar Vertu model Aster (Raspberry Ostrich) daripada suaminya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.