Bayi Menderita Ekzema

MELAKA: “Setiap kali melihat dia menggaru badannya apabila gatal, saya hanya mampu mengalirkan air mata kerana mengenangkan kesakitan terpaksa ditanggungnya walaupun usianya masih kecil,” luah ibu kepada bayi perempuan yang menghidap penyakit ekzema tahap dua, Saniah Karim, 37.

Saniah berkata, anaknya Nur Shahirah Elissa Azlan Affendi, 1, mula dikesan menghidap ekzema pada usia dua bulan apabila badan anak keduanya itu menjadi kering dan bersisik, selain selalu merengek.

Katanya, penyakit itu juga menyebabkan pertumbuhan pembesaran anaknya tidak seperti bayi normal lain, malah berat badannya kini hanya enam kilogram.

“Apabila penyakit gatalnya datang, dia mula menggaru bahagian badannya sehingga berdarah, selain akan merengek kerana tidak selesa. Bimbang keadaan makin teruk, saya akan memakaikannya sarung tangan.

“Keadaannya perlu sentiasa dipantau kerana jika terleka, badannya akan melecet kesan digaru. Sakitnya itu akan datang pada bila-bila masa dan ada kalanya saya dan keluarga terpaksa berjaga sehingga pagi,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Duyong, di sini, hari ini.

Saniah berkata, ketika usia anaknya dua bulan, dia pernah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua bulan dan kini mereka perlu membawanya menjalani pemeriksaan susulan dan berjumpa doktor pakar pada setiap bulan.

“Saya dan suami, Azlan Effendi Khamis, 36, kini buntu memikirkan kos tinggi untuk bayi kami itu, selain perlu diberi minum susu khas berharga RM164 setin.

“Disebabkan Nur Shahirah alah kepada susu lembu, doktor mengesyorkan dia minum susu khas. Pada awalnya dia diberikan susu berkenaan yang dibekalkan hospital tetapi kini kami terpaksa memberikannya susu lain kerana tidak mampu.

“Pendapatan suami hanya RM40 sehari sebagai pembantu lori ais dan kos membeli ubat-ubatan juga banyak dibantu keluarga lain,” katanya.

Katanya, sejak Disember lalu, dia menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk meringankan beban, selain turut dibantu kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.