Felda Bawa Masuk 20,000 Benih Kelapa

BANGI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membawa masuk 20,000 benih kelapa untuk membangunkan industri kelapa negara selain memperluas sumber pendapatan peneroka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim berkata benih kelapa, masing-masing 10,000 dari Indonesia dan India itu, akan diterima pada akhir Mac dan April ini.

Semua anak benih itu akan disemai di tapak semaian seluas 50 hektar di Tapak Semaian Felda Selendang, Kuala Rompin, Pahang, katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) 2018 di sini hari ini.

“Ini merupakan inisiatif Felda bagi memperluas sumber pendapatan peneroka selepas mengenal pasti potensi pasaran yang dimiliki kelapa,” katanya, menambah negara kini bergantung kepada kelapa yang diimport bagi memenuhi permintaan kira-kira 600 juta biji kelapa setahun.

Razali berkata negara berdepan masalah bekalan anak benih kelapa memandangkan ketika ini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia hanya mampu membekalkan 40,000 anak benih sahaja berbanding permintaan yang tinggi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.