Konvensyen Perdana WADIRA FELCRA Di PWTC

KUALA LUMPUR: Konvensyen Perdana Pertubuhan Wanita Dinamis FELCRA (WADIRA) 2018 yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini esok, bakal menghimpunkan 83 pemimpin dan 1,200 ahli dari seluruh negara.

Ketua Pengarah Seranta, FELCRA BERHAD, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, berkata konvensyen pertama kali dianjurkan itu, bertujuan memberi kesedaran kepada ahli dalam komuniti FELCRA untuk mendepani perubahan dan pembangunan negara masa kini.

Katanya, konvensyen sehari itu penting memandangkan WADIRA yang ditubuhkan sejak 1979, memerlukan perubahan, sekali gus pendekatan baharu untuk meneruskan legasi dibina bagi pembangunan wanita FELCRA di negara ini.

“Pendekatan konvensyen dijalankan secara interaktif menerusi sesi dialog, di mana ia membantu peserta bertukar pandangan serta memberi input untuk memperkasakan lagi pertubuhan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Konvensyen itu dijadual dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sesi dialog akan dikendalikan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Dun dan Usahawan Wanita Berjaya FELCRA, Datuk Seri Siti Zamriyah Samad.

WADIRA adalah badan penghubung dan perantaraan di antara keluarga ahli dengan pengurusan FELCRA Berhad.

Ditubuhkan pada 1979 di FELCRA Berhad Seberang Perak, WADIRA kini mempunyai 83 cawangan di seluruh negara dengan keahlian seramai 17,562 orang.

Antara objektif WADIRA ialah mewujudkan wanita berpengetahuan, maju, progresif dan dinamik serta boleh memainkan peranan aktif dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.