Malaysia Tidak Akan Muflis

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi negara tidak akan muflis kerana berjaya mengurangkan hutangnya kepada 50.4 peratus berbanding 55 peratus had yang ditetapkan sendiri.

Perdana Menteri berkata, rizab asing yang tinggi serta projek infrastruktur berterusan antara pencapaian diraih hasil keputusan berani yang diambil kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi.

“Kita sendiri menetapkan had 55 peratus daripada KDNK dan kita sendiri juga berjaya menurunkannya kepada 50.4 peratus. Hasilnya, 2.26 juta pekerjaan diwujudkan dengan purata pendapatan meningkat lima dan enam peratus setahun.

“Ketika krisis kewangan Asia, rizab negara susut kepada AS$20 bilion (RM78.37 bilion), kita tidak bankrap pun. Kini rizab kita AS$124 bilion (RM485.89 bilion) Macam mana kata kita bankrap?” soalnya.

Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian #Bajet2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, hari ini.

Najib berkata, Malaysia berjaya mencapai pertumbuhan memberangsangkan dan diiktiraf dunia dengan kadar inflasi dan pengangguran yang rendah.

“Ini gambaran yang besar. Pencapaian kita ini dapat ulasan yang sangat baik daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia yang memuji Malaysia memandangkan ekonomi kita bergerak ke arah yang betul, dan dasar kita menunjukkan hasil positif termasuk beberapa langkah yang kita ambil,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berharap Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) akan menggalakkan kadar kelahiran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan negara ini sedang mencapai kematangan ekonomi.

Najib berkata, negara yang sedang menuju kematangan ekonomi biasanya akan mengalami penurunan kadar kelahiran dan Malaysia kini menghadapi situasi yang sama.

“Mereka yang ingin melahirkan anak, teruskan berbuat demikian, ini mesej saya kerana kita memerlukan pertambahan penduduk,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.