Tsunami Melayu Di Kawasan 3 Penjuru

KUALA LUMPUR: ‘Tsunami Melayu’ diramal berlaku dalam persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Seorang penganalisis politik berpendapat gelombang itu akibat kemunculan parti baharu serpihan UMNO dan PAS seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyebabkan berlaku pecah undi di kawasan yang akan ditandingi tiga blok gabungan parti politik.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata kemunculan parti Melayu baharu membuatkan orang Melayu ada pilihan lain selain mengundi UMNO dan PAS.

Bagaimanapun, beliau menjangka walaupun berlaku persaingan tiga penjuru, UMNO atau Barisan Nasional (BN) masih dapat meraih undi sekali gus memenangi kerusi berkenaan.

“PRU kali ini berbeza dengan sebelumnya. Kali ini, percaturannya adalah meraih undi Melayu. Margin (undi) UMNO, BN berskala kecil kerana tiga penjuru akan jadi pertarungan sengit.

“Kalau dulu satu lawan satu dengan pengundi Cina dan sebahagian (pengundi) India, ia akan beri undi solid (kukuh) kepada pakatan rakyat. Maka sekarang pakatan harapan ada peluang kalau (bertanding) dua penjuru. PAN pengaruh kecil, PPBM pun sama.

“PAN tak boleh tarik undi PAS. PPBM boleh tarik pengundi atas pagar, manakala sebahagian besar kekal dengan PAS dan UMNO. Kalau tiga penjuru, PAS dan UMNO masih boleh kekal pengundinya,” katanya selepas sesi pembentangan kertas kerja pada Persidangan Meja Bulat Pra PRU-14 – BN kekal atau…?? di Hotel Istana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, pertandingan tiga penjuru dilihat lebih cenderung kepada kemenangan UMNO.

Katanya, ini terbukti ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyaksikan BN menang di dua kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meramalkan kemunculan parti Melayu baharu tidak akan memberi kesan terhadap trend pengundian masyarakat Cina pada PRU-14 kerana mereka dilihat cenderung kekal untuk mengundi parti politik yang sama seperti PRU yang lalu.

Berdasarkan kajian, 106 kerusi kemungkinan menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti pengundi Melayu pada PRU-14.

Tiga parti utama ditunjangi Melayu, iaitu UMNO, PAS dan PPBM, dijangka bertembung di 44 kerusi Parlimen. Sebanyak 35 kerusi dijangka menyaksikan persaingan antara UMNO dengan PAS dan PKR, sementara 27 lagi kerusi pertembungan antara UMNO, PAS dan Amanah. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.