Dr Anuar, Puteri Kalimatul Azzua Johan Qari, Qariah Perak

IPOH: Pensyarah, Dr Anuar Hasin dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid, masing-masing muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Perak 2018.

Anuar, 34, yang juga johan peringkat kebangsaan pada 2013, mengekalkan kemenangannya di peringkat negeri buat kali keenam.

Johan qari dan qariah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,500 berserta plak, sijil, hadiah iringan dan pakej haji bernilai RM10,000.

Tempat kedua qari tilawah dimenangi Syamsul Abu Hassan Al Shaari dan Mohamad Sahran Termizi di tempat ketiga.

Tempat kedua dan ketiga qariah tilawah pula masing-masing dimenangi Munirah Razali dan Nor Salwa Razali.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM6,000 dan RM4,000 berserta sijil dan hadiah iringan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penutup dan penyampaian hadiah di Pusat Konvensyen Amanjaya di Casuarina@Meru di sini malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah, turut berangkat.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.