Kerajaan Selangor Dituntut Selesaikan Isu Pemberian Tanah Warga FELDA

SHAH ALAM – Sekumpulan anak peneroka kampung Felda Bukit Cerakah, Kuala Selangor mengadakan perhimpunan aman di pekarangan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini, bagi menuntut kerajaan negeri Selangor menyiasat pemberian hak milik tanah di kawasan itu.

Kumpulan, yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Generasi Kedua (GGF2) Felda Bukit Cerakah, itu mendesak Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali campur tangan bagi menyelesaikan segera isu berkenaan kerana turut mendakwa terdapat unsur kronisme dalam pemberian hak milik tanah tersebut.

Pengerusi GGF2 Faizal Rahman berkata kumpulan itu akan menjadi penggerak utama dalam usaha menyelesaikan masalah yang didakwa berpunca daripada kelemahan urus tadbir di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

“Ini kerana kami dapati terdapat penama daripada kalangan orang luar sehinggakan penduduk dan peneroka asal kampung Felda Bukit Cerakah dinafikan hak mereka dalam pemberian hak milik tanah tersebut sejak 2015,” katanya kepada pemberita di sini.

Faizal berkata pihaknya juga menuntut kerajaan negeri Selangor menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat perkara itu termasuk isu pembahagian lot tanah berkenaan yang didakwa tidak diagihkan secara telus. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.