Guru Malaysia Juara Anugerah Global Di Dubai

KUALA LUMPUR: Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 30, terus mencipta sejarah di peringkat global apabila menjuarai anugerah Community Award for Citizenship di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Beliau menewaskan tujuh peserta yang layak ke final anugerah sempena Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards itu.

“Alhamdulillah saya menang anugerah GESS selepas bersaing sengit dengan guru bertaraf global,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, pagi ini.

Sirhajwan turut tersenarai antara 11 finalis tercalon Outstanding Contribution in Education Award sempena GESS.

Anugerah Community Award for Citizenship yang dimenangi Guru Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Ide di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam. – Foto Ihsan Mohd Sirhajwan.

Bulan lalu, Sirhajwan dianugerahkan biasiswa International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) kategori Express Publishing selepas menewaskan 220 pemohon dari seluruh dunia.

Pada September 2017, beliau mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris.

Terdahulu pada Mac 2017, pendidik berbangsa Bajau itu turut tersenarai dalam kelompok 50 finalis Hadiah Guru Global juga di Dubai. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.