Intan Mengaku Masih Sayangkan Ude, Tak Tahu Apa Salah Dirinya

AMPANG: Isteri pertama Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude iaitu Intan Liana Saleh reda dengan keputusan suaminya untuk menceraikan dia secara baik walaupun hakikatnya dia enggan perkara itu terjadi.

Intan, 33, berkata dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai situasi rumah tangga mereka sekarang kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

“Segala-galanya terpulang kepada Ude. Saya akur dan reda dengan keputusan dan lafaz cerai daripada Ude nanti.

 

Titisan air mata Intan yang masih menyayangi suaminya.

“Bersedia atau tidak, saya tetap kena terima keputusannya. Maaf, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut perkara ini,” jelas Intan secara ringkas kepada mStar Online.

Intan ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada Rabu.

Pasangan berkenaan hadir bagi proses lafaz cerai yang sepatutnya berlangsung pada Rabu namun ia ditanggungkan pada 22 Mac depan selepas peguam mewakili Ude iaitu Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain memohon untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas perceraian.

Ude, 30, memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan pada 30 November 2017.

Sementara itu, Intan mengakui dia masih menyayangi suaminya dan berharap semua orang mendoakan kebahagian mereka berdua.

 

Ude (berkacamata) bersama peguamnya. Ude enggan ditemuramah oleh pihak media.

Kata Intan lagi, dia dan dua orang anaknya Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1, masih tinggal di rumah yang disediakan oleh Ude.

“Saya masih sayangkan dia sehingga hari ini cuma saya tak tahu apa salah saya. Harap semua doa yang terbaik untuk kebahagian saya dan dia.

“Saya dan anak-anak tinggal di rumah yang disediakan oleh Ude. Tapi hanya sesekali saya akan ke rumah kakak kerana saya tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak ke mana-mana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ude yang turut hadir ke mahkamah enggan memberi sebarang kenyataan dan cuba mengelak daripda ditemu bual oleh pihak media.

 

Ketika ini Izreen masih isteri kedua Ude.

Sebelum ini, Intan pernah memberitahu sanggup menerima pelakon Izreen Azmindar sebagai madunya selepas mengetahui mereka sudah berkahwin dan reda dengan keputusan suaminya untuk berpoligami.

Menurut Izreen, 33, pula, dia merahsiakan pernikahannya dengan Ude yang berlangsung pada 8 Ogos tahun lalu atas permintaan suaminya itu.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza pada 2012 dan bercerai 2014.

Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun hasil perkahwinan itu.

Manakala, Ude dan Intan Lian berkahwin pada 1 Mac 2013.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.