Izreen Azminda Tak Ambil Tahu Kisah Ude Dan Madunya

KUALA LUMPUR: Aktres, Izreen Azminda, tidak mahu mencampuri urusan suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, dengan madu beliau, Intan Liana Saleh, 32, termasuk keputusan mereka untuk bercerai.

Kata pelakon terbabit, Ude juga tidak berkongsi masalah dihadapinya bersama isteri pertama.

“Suami seorang yang pendiam. Apa saja yang berlaku dalam rumah tangga dengan isteri pertama, suami lebih suka mengambil langkah menyelesaikannya sendiri, tanpa berkongsi cerita dengan saya.

“Jujurnya, ada kala saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya tidak pernah bertanya, bergaduh atau apa saja berkaitan dengan rumah tangganya bersama Intan.

“Sudah menjadi prinsip hidup kami, apabila pulang ke rumah saya, hanya hal rumah tangga kami dibincangkan. Saya sedar kedudukan saya sebagai isteri kedua, jadi lebih baik saya tidak ambil tahu,” katanya kepada BH Online.

Justeru, katanya, dia berharap orang ramai tidak mengaitkan dirinya dengan masalah rumah tangga Ude bersama isteri pertamanya.

Terdahulu, Ude, 30, yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Intan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, di sini hari ini.

Izreen, 32, juga berkata, dia semakin lali dengan kecaman yang diterima selama ini.

“Saya tidak boleh hidup dengan tenang jika terlalu memikirkan pandangan orang. Jadi, saya tidak ambil kisah dengan mulut netizen yang suka membuat tohmahan.

“Saya mahu meneruskan hidup dengan takdir yang ditentukan ini. Allah SWT lebih mengetahuinya,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.