Jauhi Sikap Mentaliti Kelas Ketiga – Raja Muda Perlis

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat agar menjauhi sikap mentaliti kelas ketiga, sebaliknya menyemai ciri-ciri modal insan berkualiti tinggi seiring dengan perubahan masa bagi memenuhi keperluan pembangunan negara.

Baginda bertitah pembangunan modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama penting bagi sesebuah negara dalam memenuhi tuntutan merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi dan pembangunan bersifat holistik.

“Inilah yang dilabelkan sebagai agenda pembangunan tamadun dengan acuan imej tersendiri. Oleh itu, jauhkanlah diri kita daripada sikap orang yang bermentaliti kelas ketiga seperti terlibat dengan najis dadah, malas belajar dan bekerja, suka berlengah, membuang masa, tiada berhemat, sambil lewa dan tidak bersemangat,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan program Titian Kasih anjuran yayasan itu, di Padang Siding dekat sini semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pengarah Pendidikan Perlis Izmi Ismail. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.