Usah Buat Spekulasi Status Datuk – Farid

KUALA LUMPUR: Datuk Farid Kamil yang berdepan dakwaan jenayah, meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung status Pingat Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang dianugerahkan kepadanya, Disember lalu.

Sedar ada pihak yang mempertikaikan gelaran yang disandangnya itu, beliau menjelaskan sehingga kini dirinya belum menerima sebarang maklum balas mengenai status pingat termasuk kemungkinan ditarik balik.

“Berhubung kontroversi terbabit, saya belum dapat apa-apa maklum balas secara formal mengenai gelaran yang dianugerahkan kepada saya itu,” katanya kepada BH Online.

Farid adalah antara 169 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada akhir tahun lalu.

Januari lalu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, dilaporkan menerima baik sekiranya pelakon terkenal dan penerbit filem itu dengan rela hati memulangkan semula pingat terbabit.

Tengku Abdullah turut mengakui berasa dukacita selepas dikejutkan dengan tindakan aktor berkenaan yang ditahan dan didakwa di mahkamah kerana menampar anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Farid yang mengadakan sidang media di Shah Alam, semalam, memanjatkan kesyukuran apabila menerima sokongan isteri, anak dan keluarga sepanjang berdepan ujian getir terbabit.

“Saya berada di titik paling bawah dalam kehidupan saya. Dunia saya berubah apabila ditahan reman selama enam hari. Pengalaman itu dianggap sebagai ujian terbesar sepanjang saya berkecimpung dalam bidang seni.

“Biarpun diduga dengan ujian begitu, namun saya terharu dengan sokongan tanpa henti yang diberikan oleh keluarga untuk berdepan dengan perkara ini,” kata Farid. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.