Kuasa Wanita: Bukti Kemampuan Lonjak Ekonomi Keluarga

KUALA LUMPUR – Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih, mungkin itulah peribahasa Melayu yang boleh menggambarkan kecekalan Zainab Mohamed dan Wan Azizah Wan Salleh merubah taraf kehidupan keluarga mereka.

Biarpun memperoleh pencen sebanyak RM1,500 sebulan, Zainab, 55, seorang pesara tentera tetap gigih berusaha meningkatkan ekonomi keluarga dengan menceburkan diri dalam bidang pertanian, sehingga kini mampu meraih pendapatan lima angka.

Menceritakan pengalamannya, Zainab, berkata beliau bermula dengan menternak cacing tanah untuk baja organik pada 2007 bersebelahan rumahnya di Telok Panglima Garang, Selangor bermodalkan duit sendiri sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, perniagaan itu hanya mampu bertahan selama setahun disebabkan persaingan serta permintaan yang berkurangan.

Berdasarkan pengalaman itu, Zainab berkata beliau dan suami Dzali Ismail, 59, mengambil keputusan beralih kepada ternakan ayam kampung dan itik pada 2008 selepas mendapat khidmat nasihat daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Zainab yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Waran 2, kemudian memohon suntikan modal daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) sebelum berjaya memperoleh pinjaman berjumlah RM20,000.

“Alhamdulillah, berkat bantuan kerajaan melalui Tekun, ternakan ayam dan itik ini membuahkan hasil positif dari segi pendapatan dan membolehkan kami mengembangkan lagi perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Pada Disember tahun lepas, pasangan suami isteri itu berjinak pula dengan tanaman timun dan kacang panjang di tanah sewa berkeluasan 0.8 hektar.

Ibu kepada tiga anak itu berkata ladangnya pada masa ini mempunyai sebanyak 1,500 pokok timun dan setiap satu pokok dijangka mampu menghasilkan lima hingga tujuh kilogram timun dengan anggaran pendapatan kasar bagi 10 ke 12 tan timun, mencecah RM15,000 setiap kali tuaian.

Mengakui aktiviti pertanian banyak menguji ketahanan mental dan fizikal termasuk bekerja dibawah terik matahari, namun Zainab berpegang kepada prinsip berbudi kepada tanah, besar hasilnya.

“Saya juga bercita-cita untuk berkongsi ilmu kepada sesiapa yang berminat bagi menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang pertanian yang kebanyakannya dipelopori oleh lelaki,” tambahnya.

Kisah Zainab itu merupakan antara kejayaan yang diraih melalui bantuan pinjaman Tekun yang menjadi sebuah institusi menyediakan peluang-peluang perniagaan serta menjana pendapatan, pembiayaan modal perniagaan, khidmat bimbingan dan sokongan serta jaringan usahawan.

Menyedari kepentingan Tekun dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan khususnya bumiputera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2018 lalu telah mengumumkan dana sebanyak RM500 juta, menyaksikan peruntukan paling tinggi pernah diberikan Tekun.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Baharom Embi berkata sejak tahun 1998 hingga Januari tahun ini, seramai 216,825 usahawan wanita berjaya dibantu dengan pembiayaan berjumlah RM2.4 billion.

?Bagi Januari tahun ini sahaja, kita telah memberikan pinjaman sebanyak RM11.7 juta kepada 906 usahawan wanita,” katanya.

Seorang lagi usahawan, Wan Azizah Wan Salleh, 46, turut menerima tempias inisiatif oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam memperkasa wanita.

Bekas pekerja sebuah kilang elektronik itu tertarik untuk berniaga membantu suaminya setelah mendapat maklumat mengenai pinjaman perniagaan disediakan AIM.

“Saya memilih menjalankan perniagaan ternakan dan pemprosesan ayam berbekalkan modal RM500 daripada AIM bermula pada tahun 1992, Alhamdulilah, kini saya mampu meraih pendapatan kasar RM20,000 sebulan,” katanya.

Katanya, dengan pinjaman sehingga RM20,000, beliau mampu membeli lot-lot tapak untuk membesarkan lagi perniagaan ternakan dan pemprosesan ayam.

Kisah kecekalan Wan Azizah yang berjaya sehingga bergelar jutawan itu pernah mendapat pujian Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2018 di Parlimen sebelum mengumumkan tambahan peruntukan RM200 juta untuk AIM, menjadikan keseluruhan dana AIM berjumlah RM2.7 bilion dan memanfaatkan 400,000 bakal peminjam.

Pengerusi Eksekutif AIM, Dr Zubir Harun berkata setakat 31 Disember tahun lalu, jumlah pembiayaan terkumpul (kumulatif) AIM yang telah diberi kepada usahawan wanita mencecah RM19 bilion.

“Jumlah ini melibatkan 380,000 peminjam dengan jumlah pinjaman antara RM500 hingga RM30,000 untuk usahawan wanita ini memulakan dan membesarkan perniagaan mereka,” katanya yang menambah usahawan wanita mempunyai rekod bayaran balik yang sangat baik, iaitu sekitar 98.8 hingga 99 peratus. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.