#MH370: ‘Terima Kasih Malaysia’

KUALA LUMPUR: “Saya masih rindukan papa…”

Sisa harapan yang mungkin masih ada, biarpun sekelumit terus menjadi pegangan anak sulung pramugara MH370, Iman Mohd Hazrin Hasnan saat perihal mengenai bapanya diajukan pemberita.

Walaupun selepas hampir empat tahun insiden berkenaan berlaku, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu menjelaskan tidak pernah meninggalkan rutin harian untuk menatap potret bapanya setiap kali pulang dari sekolah.

“Balik je dari sekolah, mesti tengok gambar papa. Saya rindu sangat dekat papa,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Memperingati Pesawat MH370, Tahun Keempat, di ibu negara, di sini, hari ini.

Ibunya, Intan Maizura Othman, 37, ketika menghadiri majlis yang berlangsung selama dua jam itu menyifatkan hidup mereka sekeluarga perlu diteruskan, meskipun insiden berkenaan kini memasuki tahun keempat tanpa menyaksikan sebarang pengakhiran.

Masih mengharapkan berita gembira, Intan bagaimanapun berkata, Islam menitipkan ajaran kepada umatnya supaya tidak meratapi pemergian insan tersayang terlalu lama.

“Pada mulanya, ia sangat sukar. Bertahun lamanya dan sampai sekarang, saya masih berdoa untuk diberikan jawapan (mengenai kehilangan MH370).

“Saya tidak akan putus asa, sebaliknya kehidupan perlu diteruskan dan Alhamdulillah, kami tiga beranak kini ‘okay’.

“Selepas insiden itu, Iman sukar untuk menerima kenyataan mengenai papa dia. Masa mengubati lukanya dan sekarang Iman mula memahami keadaan sebenar walaupun masih rindukan bapanya,” katanya.

Majlis bertemakan ‘Its not history, its the future’ (Ia bukan sejarah, ia masa depan) itu turut dihadiri waris mangsa dari India dan China yang mengambil kesempatan menzahirkan penghormatan, selain berkongsi rasa rindu terhadap insan tersayang mereka dengan hadirin.

Jiang Hui, 44, waris mangsa dari Beijing, China, menyifatkan kehadirannya pada majlis berkenaan mewakili seluruh keluarga lain dari republik itu yang terkesan dengan insiden kehilangan pesawat MH370.

“Ibu saya ada dalam pesawat itu. Saya masih rindu dan sayang kepadanya. Diharapkan, usaha untuk mencari jawapan kepada insiden kehilangan MH370 tidak terhenti bagi mengubati luka kami.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang sehingga kini menggembleng usaha meneruskan pencarian pesawat berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.